- Iklan -
Berita

Pakar jangka belanjawan terbesar, namun diperlukan, walau bimbang inflasi

Pakar menjangka belanjawan pandemik kedua Putrajaya akan melepasi RM322 bilion yang diperuntukkan tahun lepas walaupun kerajaan keluarkan beberapa pakej bantuan.

Ahmad Mustakim Zulkifli
3 minit bacaan
Kongsi
Suasana orang ramai berkunjung di Capital Cafe, Jalan Tunku Abdul Rahman.
Suasana orang ramai berkunjung di Capital Cafe, Jalan Tunku Abdul Rahman.

Kerajaan dijangka akan meneruskan polisi pengembangan(expansionary) pada Belanjawan 2022 yang akan dibentangkan pada hari ini, sekaligus menjadi belanjawan dengan peruntukan terbesar dalam sejarah, kata pakar.

Ahmed Razman Abdul Latiff dari UPM berkata, kerajaan dijangka akan membelanjakan RM350 bilion untuk belanjawan kali ini, sekali gus melebihi jumlah RM322 bilion dalam belanjawan tahun lalu.

“Kebimbangan kita ialah kemampuan kerajaan untuk melaksanakan belanjawan sedemikian rupa,” katanya kepada MalaysiaNow.

“Namun selepas kerajaan menaikkan kadar statutori hutang sebanyak 60% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), ada ruang untuk memastikan belanjawan kali ini membolehkan golongan yang memerlukan mendapat bantuan sewajarnya.”

Menurut Razman, dengan peningkatan kadar itu, kerajaan mampu menambah hutang sebanyak RM60 bilion namun ia tidak semestinya dimaksimumkan.

Katanya, dengan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dijangka diadakan pada tahun depan, belanjawan kali ini dijangka bersifat populis, apatah lagi selepas pelaksanaan Undi 18.

Menurut Razman, tumpuan akan diberikan kepada semua segmen masyarakat bagi memastikan mereka mendapat bahagian masing-masing.

Sebelum ini beberapa pengkritik memberi amaran bahawa dasar perlaksanaan perbelanjaan yang berlebihan dijangka meningkatkan kadar inflasi.

Ini kerana kerajaan sudah berbelanja besar menerusi pakej-pakej rangsangan sebelum ini bagi membantu rakyat dan perniagaan mengharungi perintah kawalan pergerakan (PKP) bermula Mac tahun lalu.

Sejak Mac 2020, kerajaan melaksanakan lapan pakej bantuan dan rangsangan ekonomi berjumlah kira-kira RM530 bilion, antaranya Prihatin (RM250 bilion), Penjana (RM35 billion), Pemerkasa (RM20 bilion) dan Pemulih (RM150 billion).

Ogos lalu, Jabatan Perangkaan memaklumkan, Indeks Harga Pengguna Malaysia yang mengukur kadar inflasi dalam negara meningkat 2.2% pada Julai.

Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz dijangka membentangkan Belanjawan 2022 di Dewan Rakyat, kali pertama di bawah Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.

Ketua Pakar Ekonomi Bank Islam Afzanizam Abdul Rashid berkata inflasi sememangnya satu kebimbangan yang memberi kesan kepada kuasa beli rakyat.

Katanya, kerajaan memerlukan strategi yang lebih berkesan dalam menangani isu inflasi.

“Memastikan bekalan makanan sentiasa cukup serta rantaian penawaran atau bekalan sentiasa dipantau supaya kegiatan orang tengah yang mengambil kesempatan kepada peraih produk pertanian dapat dibanteras,” katanya kepada MalaysiaNow.

Bagaimanapun, Razman berkata kadar inflasi yang berdasarkan indeks harga pengguna tidak melambangkan harga barangan semasa.

Beliau menjangkakan kadar inflasi akan kekal rendah dan risikonya masih terkawal.

Katanya, apa yang lebih utama tumpuan perlu diberikan bagi menangani krisis rantaian bekalan yang sedang melanda dunia akibat kadar permintaan yang melonjak susulan pembukaan semula sektor ekonomi.

Menurut Razman, situasi “bottleneck” bekalan di peringkat antarabangsa dijangka menaikkan kadar inflasi berbanding dasar perkembangan fiskal.

Katanya, harga barangan akan meningkat sekiranya keadaan itu berterusan, memandangkan negara masih mengimport barangan dari luar dengan jumlah yang banyak.

Justeru, beliau berkata Belanjawan 2022 wajar memberi tumpuan kepada kempen membeli barangan Malaysia.

Bagi mengatasi masalah pada rantaian sistem, Razman berkata beliau menjangkakan kerajaan akan meletakkan asas dan mempelbagaikan hasil negara dalam belanjawan kali ini menerusi sektor-sektor ekonomi baru seperti ekonomi digital, industri kreatif dan pembangunan infrastruktur.

“Peruntukan belanjawan juga harus pergi kepada ekonomi tapak atau ‘real economy’. Contohnya kalau geran diberikan kepada perniagaan untuk menghapuskan hutang lama, ia tidak akan membantu.

“Tapi kalau geran itu berfungsi untuk syarikat melaksanakan perkembangan, menghasilkan produk baru, ia akan memberikan manfaat kepada ekonomi negara,” katanya.

Gesaan itu turut disuarakan Afzanizam  yang mahukan kerajaan memastikan sektor logistik berfungsi dengan baik dalam apa jua keadaan.

“Jika kita melihat dari sudut perdagangan antarabangsa, lebih 50% eksport dan import barangan dihantar melalui pengangkutan laut. Selebihnya, barangan akan diangkut melalui pengangkutan udara dan darat.

“Berikutan terdapatnya lebihan kapasiti dalam sektor penerbangan, maka pengangkutan kargo melalui udara boleh ditingkatkan bagi menampung masalah kejutan penawaran,” katanya.

Felo Akademi Sains Malaysia, Madeline Berma pula berkata, ketika ini pendekatan pengembangan diperlukan untuk tujuan pemulihan ekonomi, membina kemampanan dan meletakkan asas kukuh untuk pembangunan lestari.

“Pengembangan dalam Bajet 2022 digunakan untuk melengkapkan Rancangan Malaysia Ke-12. Fokusnya ialah infrastruktur dan digitalisasi,” katanya yang menjangkakan bantuan berkaitan Covid-19 akan diteruskan.

Justeru, katanya kerajaan akan terus memainkan peranan besar dalam ekonomi.

Meskipun ia dilihat bertentangan dengan prinsip pasaran bebas, Madeline berkata ketika tempoh sumber menjadi terhad, campur tangan kerajaan yang lemah dalam pasaran hanya akan membesarkan jurang-jurang sedia ada dalam ekonomi.

“Campur tangan kerajaan diperlukan dalam bentuk sokongan program ekonomi bagi menghadapi impak PKP terhadap pendapatan, pekerjaan dan kehidupan,” katanya kepada MalaysiaNow.

Madeline berkata kerajaan juga wajar menyediakan insentif kepada sektor yang terkesan akibat pandemik Covid-19 seperti sektor pelancongan, selain sektor yang mempunyai kesan berganda seperti projek-projek infrastruktur mega.