Saturday, November 27, 2021

KPM putuskan murid duduki peperiksaan awam hadir sekolah tanpa penggiliran mulai 8 November

Kehadiran tanpa penggiliran di sekolah KPM ditetapkan berdasarkan kadar vaksinasi 90% atau lebih di institusi terbabit.

Other News

Kementerian pendidikan (KPM) hari ini memutuskan jadual kehadiran murid yang menduduki peperiksaan awam adalah tanpa penggiliran mulai 8 November 2021 setelah kadar vaksinasi lengkap 90% murid di institusi tersebut dicapai.

Bagaimanapun, menurut KPM, kehadiran murid kelas peperiksaan awam atau antarabangsa yang belum mencapai kadar vaksinasi lengkap 90% adalah kekal secara penggiliran.

KPM berkata keputusan tersebut dibuat hasil perbincangan bersama kementerian kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

KPM berkata negeri yang diletakkan di bawah Kumpulan A termasuk Johor, Kedah, Kelantan dan Terengganu akan beroperasi sama tarikh dengan negeri di bawah Kumpulan B (Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Perlis, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak, Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Labuan dan Wilayah Persekutuan Putrajaya).

“Pengoperasian bagi negeri Kumpulan A juga bermula pada 8 November 2021 kerana 7 November 2021 adalah cuti tambahan sempena perayaan Deepavali yang diperuntukkan dalam takwim penggal dan Cuti Persekolahan Tahun 2021 bagi sekolah bawah KPM,” kata KPM dalam sebuah kenyataan.

“Bagi institusi pendidikan bawah KPM yang belum mencapai kadar vaksinasi lengkap 90% atau lebih bagi murid kelas peperiksaan awam dan antarabangsa, pengoperasian kekal secara penggiliran.”

Dalam pada itu KPM berkata murid prauniversiti Semester 3 di sekolah sukan, murid kelas peperiksaan awam di sekolah berasrama penuh dan murid kelas peperiksaan antarabangsa (IGCSE O-Level, A-Level, Australia Higher School Certificate dan IBD) juga akan kekal hadir tanpa penggiliran.

“KPM akan terus memantau dan mengemas kini senarai institusi pendidikan yang belum mencapai kadar vaksinasi lengkap 90% bagi murid kelas peperiksaan awam dan antarabangsa.”

KPM berkata pihaknya akan mengeluarkan senarai terkini institusi yang belum mencapai kadar vaksinasi lengkap 90% pada setiap hari Rabu.

Justeru, katanya, mana-mana institusi pendidikan yang mencapai kadar vaksinasi lengkap 90% atau lebih akan dikeluarkan daripada senarai tersebut dan institusi boleh mula beroperasi tanpa penggiliran pada hari Ahad atau Isnin minggu berikutnya.

KPM juga menyarankan agar ketetapan ini turut terpakai di semua institusi pendidikan yang tidak berdaftar dengan mereka termasuk institusi pendidikan bawah kerajaan negeri.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles