- Iklan -
Berita

Kerajaan umum belanjawan RM322.1 bilion, tertinggi dalam sejarah

Tema Belanjawan 2022 'Keluarga Malaysia Makmur Sejahtera' dengan tiga paksi utama memperkukuh pemulihan, membina daya tahan, memacu pembaharuan diumum hari ini.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz di Putrajaya sebelum berangkat ke Dewan Rakyat.
Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz di Putrajaya sebelum berangkat ke Dewan Rakyat.

Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz hari ini mengumumkan belanjawan tertinggi dalam sejarah sebanyak RM332.1 bilion bagi 2022.

Daripada jumlah tersebut, RM233.5 bilion akan diperuntukan untuk perbelanjaan operasi, RM75.6 billion bagi pembangunan, dan RM23 bilion akan diperuntukkan bagi dana Covid-19.

Sementara itu, RM2 bilion akan diperuntukkan bagi simpanan luar biasa.

“Sungguhpun ini merupakan bajet mengembang, defisit fiskal 2022 diunjur berkurang kepada 6 peratus daripada KDNK berbanding 6.5 peratus pada 2021,” kata Zafrul.

Kerajaan turut memperkenalkan Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) dengan beberapa pembaharuan supaya kumpulan yang benar-benar terkesan, diberi lebih tumpuan.

Bagi 2022, BKM akan menyalurkan bantuan iaitu sebanyak RM2,000 kepada isi rumah yang mempunyai tiga orang anak atau lebih dengan pendapatan kurang RM2,500 sebulan.

Menurutnya, pemberian bantuan ini merupakan peningkatan berbanding 1,800 ringgit iaitu kadar tertinggi di bawah Bantuan Prihatin Rakyat (atau BPR) sebelum ini.

Selain itu, Zafrul berkata bantuan tambahan sebanyak RM500 ringgit lagi kepada ibu atau bapa tunggal yang mempunyai anak tanggungan dan berpendapatan bulanan sehingga RM5,000.

Bantuan tambahan sebanyak RM300 juga akan diberikan kepada isi rumah warga emas.

“Ini bermakna, kepada ibu atau bapa tunggal dengan tiga anak atau lebih, layak mendapat BKM maksimum sebanyak RM2,500,” katanya.

Secara keseluruhan, BKM akan memanfaatkan lebih 9.6 juta penerima dengan peruntukan RM8.2 bilion berbanding 8.6 juta penerima manfaat peruntukan RM7 bilion di bawah Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) seperti yang diumumkan sebelum ini.

Ini adalah pembentangan kedua belanjawan oleh Putrajaya pada era pandemik dan pembentangan pertama pentadbiran diketuai Ismail Sabri Yaakob sebagai perdana menteri selepas Muhyiddin Yassin meletakkan jawatan pada akhir Ogos.

Belanjawan 2021, yang dibentangkan Tengku Zafrul melibatkan jumlah peruntukan RM322.1 bilion – lebih RM10 bilion (8.59%) berbanding belanjawan bagi 2020.