- Iklan -
Berita

Facebook tukar nama syarikat induk kepada ‘Meta’

Facebook, Instagram dan WhatsApp akan kekalkan nama ketika pengkritik menyifatkan ia adalah usaha untuk mengalihkan perhatian daripada disfungsi platform tersebut.

AFP
1 minit bacaan
Kongsi
Pekerja Facebook bergambar dengan logo baru syarikat induknya 'Meta'. Gambar: AP
Pekerja Facebook bergambar dengan logo baru syarikat induknya 'Meta'. Gambar: AP

Facebook menukar nama syarikat induknya kepada “Meta” pada Khamis ketika gergasi teknologi itu cuba beralih daripada menjadi rangkaian sosial yang dipenuhi skandal kepada sebuah syarikat dengan visi realiti maya bagi masa hadapan.

Peralihan baru itu dibuat ketika syarikat tersebut bergelut untuk menangkis salah satu krisis terburuknya dan beralih kepada cita-citanya untuk mewujudkan “metaverse”, yang dilihat bakal mengaburi dunia fizikal dan dunia digital.

Aplikasi Facebook, Instagram dan WhatsApp yang digunakan oleh bilion pengguna di seluruh dunia akan tetap mengekalkan jenamanya di bawah usaha penjenamaan semula syarikat itu.

Pengkritik penjenamaan semula syarikat itu menyifatkan ia adalah usaha untuk mengalih perhatian orang ramai daripada kegagalan platform itu untuk berfungsi.

“Kami telah belajar banyak daripada bergelut dengan isu sosial dan hidup di bawah platform tertutup, dan kini tiba masanya untuk mengambil semua yang kami pelajari dan membantu membina bab seterusnya,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Mark Zuckerberg semasa persidangan tahunan syarikat itu.

“Saya dengan bangganya mengumumkan bahawa mulai hari ini, syarikat kita kini adalah Meta. Misi kita tetap sama, masih mengenai menyatukan orang ramai, aplikasi kita dan jenamanya, tidak berubah,” tambahnya.

Pengkritik mengecam penjenamaan semula syarikat tersebut, kumpulan aktivis yang menggelarkan dirinya The Real Facebook Oversight Board mengatakan platform itu merosakkan demokrasi sambil menyebarkan maklumat salah dan kebencian.

“Penukaran nama mereka tidak seharusnya mengalihkan perhatian daripada penyiasatan, peraturan dan pengawasan bebas yang diperlukan untuk menjadikan Facebook dipertanggungjawabkan,” kata kumpulan itu dalam satu kenyataan.

Gergasi media sosial itu bergelut dengan salah satu krisis paling serius sejak bekas pekerja Frances Haugen membocorkan pelbagai kajian dalaman yang menunjukkan eksekutif syarikat mengetahui platform tersebut boleh membahayakan, mendorong AS memperbaharui desakan untuk peraturan.