- Iklan -
Berita

Tambahan 50 sen bil Astro di Pos Malaysia untuk tingkat kualiti perkhidmatan, kata menteri

Annuar berkata caj tambahan itu dikenakan mengambil kira kenaikan kos operasi Pos Malaysia.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Premis Pos Laju di Putrajaya.
Premis Pos Laju di Putrajaya.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Annuar Musa hari ini berkata tambahan bayaran 50 sen bil Astro di kaunter Pos Malaysia adalah bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan selain mengambil kira kenaikan kos operasi.

Annuar berkata demikian ketika menjawab pertanyaan di Dewan Rakyat oleh Ahli Parlimen Batu Kawan Kasthuri Patto yang mempersoalkan caj komisen kepada pejabat pos sekiranya bil Astro dibayar secara manual di premis Pos Malaysia.

Mengulas lanjut, Annuar berkata pelaksanaan caj perkhidmatan sebanyak 50 sen bagi pembayaran bil Astro itu telah dilaksanakan oleh ejen pembayaran Astro.

“Pihak Pos Malaysia hanya mula mengenakan caj perkhidmatan yang sama bagi pembayaran bil Astro di kaunter pejabat pos pada 1 September 2021.

“Mengambil kira kenaikan kos operasi serta untuk membolehkan Pos Malaysia meningkatkan kualiti perkhidmatannya,” katanya dalam jawapan bertulis sidang mesyuarat Dewan Rakyat hari ini.

Bagaimanapun, menurut Annuar Astro menyediakan platform pembayaran bil yang tidak mempunyai sebarang caj perkhidmatan dan memudahkan para pelanggan termasuk melalui auto debit Self Serviice Portal Astro, Astro Quick Pay, platform JomPAY, dan aplikasi My Astro.

Pos Malaysia Berhad dikorporatkan pada 1992 dan kemudiannya disenaraikan di Bursa Malaysia pada tahun 2001.

Kini, ia menjadi anak syarikat kepada Kumpulan DRB-Hicom Berhad.