- Iklan -
Berita

Pakar jangka kes Covid-19 meningkat selepas PRN Melaka

Bagaimanapun, mereka berkata gelombang jangkitan tidak seperti sebelum ini kerana kesedaran tentang SOP semakin tinggi selain kadar vaksinasi yang tinggi.

Kongsi
PRN Melaka terpaksa diadakan selepas empat ahli Dewan Undangan Negeri  kerajaan menarik kembali sokongan terhadap ketua menteri. Namun kebimbangan jangkitan virus melonjak meningkat jika ia diadakan.
PRN Melaka terpaksa diadakan selepas empat ahli Dewan Undangan Negeri kerajaan menarik kembali sokongan terhadap ketua menteri. Namun kebimbangan jangkitan virus melonjak meningkat jika ia diadakan.

Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang bakal diadakan bulan depan dijangka akan mencetuskan gelombang baharu jangkitan Covid-19, kata beberapa pakar kesihatan.

Bagaimanapun mereka berkata keadaan berbeza berbanding apa yang berlaku selepas PRN Sabah September tahun lalu disebabkan program vaksinasi di Malaysia.

Pengarah Pusat Penyelidikan dan Pendidikan Penyakit Berjangkit Tropika (Tidrec) Dr Sazaly Abu Bakar berkata, PRN Melaka berkemungkinan akan mencetuskan kluster jangkitan baru, tetapi ia tidaklah sehingga menyebabkan gelombang besar seperti sebelum ini.

“Tahap vaksinasi dan kepekaan SOP dijangka lebih tinggi di PRN Melaka berbanding PRN Sabah,” katanya kepada MalaysiaNow.

PRN Melaka terpaksa diadakan selepas empat ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) kerajaan menarik kembali sokongan terhadap ketua menteri.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRN Melaka pada 20 November.

Tempoh berkempen ditetapkan 12 hari bermula 8 November bersamaan dengan hari penamaan calon.

Sementara itu, Pakar virologi dari Universiti Sains Malaysia (USM) Dr Yahya Mat Arip, berkata PRN Melaka bakal menjadi ujian lapangan pertama era pasca vaksinasi dan menguji tahap kelekaan orang ramai terhadap usaha pencegahan penularan Covid-19.

“Saya tidak terkejut sekiranya berlaku peningkatan kes sekiranya PRN Melaka dilaksanakan seperti PRN sebelum ini. Mungkin kes tahap tiga, empat dan lima tidak sebanyak sebelum ini disebabkan liputan vaksinasi yang tinggi.

“Tetapi kita perlu ingat masih ada kumpulan yang belum divaksin iaitu kanak-kanak bawah 12 tahun, dan terdapat sebahagian golongan remaja dan dewasa yang masih tidak mahu menerima vaksin. Kumpulan ini yang menjadi kebimbangan,” katanya kepada MalaysiaNow.

Bagi Saintis Virologi Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT) Universiti Sains Malaysia (USM), Dr Muhammad Amir Yunus, pengalaman Malaysia berdepan dengan lonjakan kes jangkitan Covid-19 sebelum ini akan membuatkan pihak berkuasa lebih bersedia menjelang PRN Melaka.

Bagaimanapun, beliau turut mencadangkan supaya PRN Melaka ditangguhkan sehingga tempoh masa yang dibenarkan seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Negara.

“Jika ingin laksanakan, boleh ambil kira tempoh maksimum untuk tangguh pelaksanaan PRN. Jika tidak, lihat data dan jumlah kes di lokasi untuk adakan PRN.

“Saya pasti Majlis Keselamatan Negara (MKN) akan memperincikan maklumat tersebut sebelum membuat keputusan.” katanya.

Tambah beliau, pihak berkuasa juga perlu mengambil kira keupayaan dan kapasiti hospital supaya lebih bersedia menghadapi kenaikan kes Covid-19.

Selain itu, beliau mencadangkan supaya pihak berkuasa supaya mempertimbangkan tindakan undang-undang terhadap parti politik yang gagal mematuhi SOP sekiranya menjalankan kempen.

Mengulas mengenai pelaksanaan SOP, bekas Pengerusi Jawatankuasa Pembaikan Sistem dan Undang-Undang Pilihan Raya (ERC) Abdul Rashid Abdul Rahman, berkata ia tidak perlu dilaksanakan seperti di Pilihan Raya Umum Singapura pada tahun lalu kerana SOP pengundian yang diguna pakai pada PRN Sabah sudah memadai.

Katanya, isu penularan Covid-19 semasa PRN Sabah dilihat berpunca daripada sikap tidak mengambil peduli tentang SOP oleh orang ramai termasuk ahli politik terutama ketika menjalankan aktiviti berkempen.

“Saya ada di situ (PRN Sabah). SOP semasa hari mengundi cukup bagus dan orang ramai memang ikut peraturan yang ditetapkan.

“Isunya ialah ketika berkempen. Mereka berhimpun di kawasan sempit dan tertutup seperti di kedai makan dan inilah punca penularan Covid-19,” katanya ketika dihubungi MalaysiaNow.

Tambah beliau, pilihan terbaik untuk parti politik melaksanakan aktiviti berkempen ialah secara hibrid yang mana calon atau parti politik berkempen menerusi platform digital dan bersemuka dengan had kapasiti minimum.

“Berkempen merupakan elemen penting dalam demokrasi dan ia bagi memastikan orang ramai kenal siapa calon yang bakal mewakili suara mereka.

“Bezanya dengan Singapura, Malaysia mempunyai banyak kawasan pendalaman dan saya bimbang jika lakukan kempen secara digital sahaja, pengundi tidak betul-betul kenal siapakah calon yang bertanding terutama jika melibatkan calon baru,” katanya.

Justeru, katanya, tidak ada masalah jika calon atau parti politik untuk menziarah rumah ke rumah, namun ia perlu dilakukan dengan kumpulan yang kecil disertakan SOP ketat.

“Tiada guna jika ramai pihak berkuasa berada di lokasi kerana jika terlalu ramai orang, mereka juga tidak berupaya untuk mengawal keadaan” tegasnya.