- Iklan -
Berita

Menjelang pembentangan Belanjawan 2022, pengusaha bas rayu bantuan kerajaan

Persatuan Pengusaha Bas Seluruh Malaysia berkata anggota persatuan menanggung kerugian teruk sepanjang PKP dan masih bergelut untuk kembali pulih.

Azzman Abdul Jamal
2 minit bacaan
Kongsi
PMBOA memohon supaya kerajaan memberikan subsidi menyeluruh sebanyak 75% dari gaji bulanan pekerja pengendali bas selama tempoh PKP dan tiga bulan selepas tempoh itu.
PMBOA memohon supaya kerajaan memberikan subsidi menyeluruh sebanyak 75% dari gaji bulanan pekerja pengendali bas selama tempoh PKP dan tiga bulan selepas tempoh itu.

Menjelang pembentangan Belanjawan 2020, Persatuan Pengusaha Bas Seluruh Malaysia (PMBOA) merayu supaya kerajaan memberikan bantuan kepada mereka kerana terjejas teruk akibat pelaksanaan perintah kawalan pergerakan bagi mengekang Covid-19.

Presiden PMBOA Mohamad Ashfar Ali, berkata industri bas juga menghadapi masalah kewangan berterusan sejak beberapa dekad lalu dan kebanyakan pengusaha hanya hidup sekadar “cukup makan”.

“Di bawah PKP, industri bas dikategorikan sebagai perkhidmatan penting, oleh itu syarikat-syarikat bas tetap meneruskan operasi,” katanya kepada MalaysiaNow.

“Namun demikian, perjalanan adalah terhad untuk orang awam dan hampir tidak ada penumpang yang menaiki bas dan ini menyebabkan pengusaha bas tidak menjana pendapatan.”

Mengulas lanjut, Ashfar berkata, walaupun syarikat bas kembali meraih pendapatan susulan kebenaran merentas negeri pada 11 Oktober lalu, ia masih belum cukup untuk menampung kerugian.

“Jumlah penumpang sememangnya bertambah sejak kebelakangan ini tetapi orang ramai masih bimbang untuk menaiki bas. Jumlah perjalanan masih tidak sama seperti dulu.

“Setiap bas yang bergerak perlu memastikan kapasiti penumpang melebihi 50% untuk meraih keuntungan.

“Bagaimanapun, bas yang masih dalam pinjaman sewa beli (hire-purchase) perlu dapatkan kapasiti penumpang 70% sebelum mencatat keuntungan bagi setiap perjalanan,” katanya.

Ashfar berkata, antara cadangan yang dikemukakan PMBOA, yang turut dipersetujui 110 syarikat bas di seluruh Malaysia ialah memperkenalkan skim memberi kursus latihan  percuma bagi individu yang berminat menjadi pemandu bas.

Katanya, ini kerana industri pengangkutan itu sering menghadapi kekurangan pemandu sejak 20 tahun lalu.

“Seterusnya ialah pengecualian cukai import dan cukai eksais bagi meringankan kos operasi syarikat bas ekoran kos penggantian casis dan alat ganti bas yang terus meningkat,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, PMBOA juga memohon supaya kerajaan memberikan subsidi menyeluruh sebanyak 75% dari gaji bulanan pekerja pengendali bas selama tempoh PKP dan tiga bulan selepas tempoh itu.

“Sebilangan besar pemandu dan pekerja kami memperoleh lebih daripada RM2,000 sebulan dan subsidi yang diberikan tidak cukup untuk menampung gaji bulanan, terutamanya apabila ahli kami terus membayar gaji penuh walaupun tidak menjana pendapatan.

“Selain itu, PMBOA memohon pengecualian fi pemeriksaan berjadual Puspakom sehingga Disember 2022 serta pelepasan fi oleh Agensi Pengangkutan Awam Darat (Apad) untuk pemprosesan permit bagi tahun 2022.

Tambah Ashfar, pengurangan caj tersebut dijangka akan membantu mengurangkan kos operasi pengusaha bas semasa dan selepas tempoh PKP.