- Iklan -
Berita

Ismail tak turun berkempen di PRN Melaka?

Perdana menteri berdepan dilema politik terbesar sejak mengangkat sumpah jawatan itu dengan bantuan PN.

MalaysiaNow
3 minit bacaan
Kongsi
Ismail Sabri Yaakob dan Ahmad Zahid Hamidi dalam sebuah pertemuan. Pertemuan serupa turut diadakan bersama Najib Razak selepas spekulasi mengatakan kedua-dua pemimpin Umno itu mula menjarakkan diri.
Ismail Sabri Yaakob dan Ahmad Zahid Hamidi dalam sebuah pertemuan. Pertemuan serupa turut diadakan bersama Najib Razak selepas spekulasi mengatakan kedua-dua pemimpin Umno itu mula menjarakkan diri.

Pertembungan Umno dan gabungan Perikatan Nasional (PN) yang bakal berlaku pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka akan datang menimbulkan dilema politik terbesar bagi Ismail Sabri Yaakob sejak mengangkat sumpah Ogos lalu, memaksa perdana menteri mempertimbangkan sama ada akan terlibat dalam kempen pilihan raya tersebut atau tidak, MalaysiaNow difahamkan.

Dilema itu menjadi lebih sukar kerana Ismail juga mendapat tekanan dari Ahmad Zahid Hamidi untuk membuat lawatan ke Melaka bagi menyertai kempen parti itu.

“Jika Ismail pergi berkempen untuk Umno di Melaka, ia akan menjadi misi bunuh diri,” kata ahli Umno Pahang yang rapat dengan kumpulan rapat perdana menteri kepada MalaysiaNow.

Ismail berkuasa Ogos lalu dengan sokongan kira-kira 50 ahli Parlimen dari PN dan sekutunya, sebuah keputusan yang menyebabkan beliau berterima kasih kepada Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin.

Namun beliau kini berada dalam kedudukan janggal kerana terpaksa mematuhi ketua partinya yang menolak sebarang bentuk kerjasama dengan Bersatu dan seterusnya akan turut bertembung dengan sekutu utama PN iaitu PAS pada PRN yang akan diadakan pada 20 November depan.

Walaupun berdepan tentangan hebat Umno Melaka, Zahid yang mengetuai kempen menggulingkan kerajaan Muhyiddin selepas gagal mendapatkan bantuan pemimpin Bersatu bagi puluhan kes jenayahnya, bertegas Umno dan Bersatu tidak akan bekerjasama dalam PRN.

Muhyiddin dan Zahid secara terbuka menyatakan calon mereka akan bertembung walaupun ahli Parlimen daripada kedua-dua gabungan diketuai mereka membentuk kerajaan persekutuan yang dipimpin Ismail ketika ini.

“Jadi sebagai ahli Umno, Ismail tidak mempunyai pilihan selain patuh kepada arahan Zahid. Namun untuk apa? Melainkan Zahid mampu gantikan sokongan 50 ahli Parlimen PN kepada kerajaan dengan tambahan sokongan daripada ahli Parlimen lain.

“Jika Ismail masih dapat bertahan (sebagai PM) sebelum pilihan raya umum (PRU) akan datang ia sememangnya satu kejayaan baginya,” kata sumber Umno itu.

Tekanan dari Zahid juga berlaku ketika hubungan presiden Umno itu dengan Najib Razak menjadi rapuh selepas bekas perdana menteri itu dilaporkan memutuskan untuk bekerjasama dengan Ismail.

MalaysiaNow baru-baru ini melaporkan kedua-dua pemimpin Umno itu berpecah sejurus selepas kedua-duanya bekerja keras untuk menggulingkan pentadbiran Muhyiddin.

Najib kini bergantung kepada penyandang jawatan nombor satu negara itu untuk bagi mendapatkan kelebihan daripada kerajaan.

Difahamkan, Najib memutuskan untuk menjauhkan diri sepenuhnya dari Zahid berikutan defisit kepercayaan yang main berkurangan dalam kalangan pemimpin Umno terhadap Zahid.

Pada masa yang sama, Ismail secara senyap bekerja keras untuk mendapatkan sokongan dan pengaruh bagi jawatan tertinggi parti, satu perkara yang boleh mengukuhkan kedudukannya di Putrajaya.

Ismail mempunyai kurang reputasi untuk menjadi perdana menteri walaupun beliau merupakan salah seorang dari tiga naib presiden Umno.

Kedudukan beliau ketika ini juga turut memecahkan tradisi masa lalu ketika parti itu berkuasa.

Dalam usaha merebut jawatan presiden Umno, Ismail menemui sekutunya iaitu Najib yang membolehkan situasi menang-menang dapat dicapai.

Difahamkan, semalam Najib bertemu Ismail untuk membincangkan strategi PRN Melaka, susulan mesyuarat serupa diadakan secara berasingan antara Ismail dan mereka yang bersekutu dengan Zahid.

Sumber berkata semasa pertemuan dengan Najib, Ismail berkata beliau harus dikecualikan daripada kempen pemilihan Umno di Melaka.

“Najib juga meminta semua menteri menyertai kempen Umno di Melaka, tetapi beliau berlembut ketika memberitahu Ismail untuk pergi ke Melaka,” kata sumber itu.

“Dia keluar (untuk bincang perkara itu) untuk memastikan Ismail tidak perlu menambah masalahnya. Itulah sebabnya Najib mengetepikan semua kerja peribadi lain, termasuk perjalanan pertamanya ke luar negara untuk melawat anak perempuannya, bagi memberi tumpuan kepada Melaka dan menyelamatkan Ismail,” kata sumber Umno itu.

Najib, yang sedang merayu sabitan kesalahan rasuah tahun lepas dan turut berdepan pelbagai pertuduhan jenayah lain berkaitan skandal 1MDB, baru-baru ini diberikan kebenaran untuk ke Singapura bagi melawat anak perempuannya yang akan melahirkan anak kedua.

Pada Isnin, beliau berjaya menangguhkan perjalanan ke Singapura sehari selepas PRN Melaka.

Najib kini mesti membuktikan kehadirannya di Melaka akan memihak kepada Umno.

Negeri kecil namun penting dengan kelebihannya sebagai pusat pelancongan itu adalah antara negeri yang jatuh kepada Pakatan Harapan (PH) pada pilihan raya umum lalu.

Kejatuhan negeri itu adalah berikutan kemarahan orang ramai terhadap Najib sehingga beliau jatuh daripada tampuk pentadbiran kerajaan pada 2018.