- Iklan -
Berita

Tiada masalah penangguhan RUU pinda Perlembagaan selaras MA63, kata KM Sarawak

Menurut Abang Johari, ia hanya bagi membolehkan peguam negara memberikan penjelasan lanjut mengenai pindaan tersebut kepada Kabinet.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Ketua Menteri Sarawak Abang Johari Openg. Gambar:  Bernama
Ketua Menteri Sarawak Abang Johari Openg. Gambar: Bernama

Tiada masalah besar yang berbangkit susulan penangguhan pembentangan rang undang-undang (RUU) bagi meminda beberapa peruntukan Perlembagaan Malaysia selaras Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), kata Ketua Menteri Abang Johari Openg.

Jelasnya beliau dimaklumkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Wan Junaidi Tuanku Jaafar, penangguhan itu dibuat bagi membolehkan peguam negara (AG) menjelaskan lebih lanjut cadangan pindaan kepada anggota Kabinet.

“Tiada masalah, saya difahamkan oleh Wan Junaidi terdapat beberapa perkara (yang perlu penjelasan) seperti Perkara 160 mengenai definisi persekutuan. Mereka hanya mahukan penjelasan mengenai perkara tertentu, itu sahaja.

“Tiada masalah besar, ia hanya soal berkaitan pemahaman dan penjelasan oleh AG,” katanya ketika ditemui pemberita.

Pada 25 Oktober lalu, Wan Junaidi dilaporkan berkata Kabinet akan menetapkan tarikh baru untuk pembentangan rang undang-undang tersebut.

Menurut Wan Junaidi penangguhan itu susulan tiada kata sepakat dicapai mengenai cadangan pindaan terhadap beberapa artikel berkaitan Perlembagaan Persekutuan semasa sesi perbincangan pada 24 Oktober lalu yang turut dihadiri Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.

Rang undang-undang berkenaan sepatutnya dibentangkan di Dewan Rakyat semalam (26 Oktober), diikuti bacaan kali kedua pada 28 Oktober.

Tarikh baru bacaan kali pertama rang undang-undang itu akan ditetapkan selepas taklimat daripada Peguam Negara berhubung perkara berkenaan dalam mesyuarat Kabinet pada Jumaat (29 Oktober) ini.