- Iklan -
Berita

Radzi turun padang, kumpul maklumat isu pemeriksaan haid di sekolah

Menteri pendidikan dapatkan maklumat secara terus daripada murid-murid yang terlibat dengan kejadian tersebut.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Pemeriksaan haid yang berlaku di sekolah dianggap melanggar privasi dan  membuka aib dan menimbulkan trauma kepada murid.
Pemeriksaan haid yang berlaku di sekolah dianggap melanggar privasi dan membuka aib dan menimbulkan trauma kepada murid.

Menteri pendidikan Radzi Jidin melawat sebuah sekolah di Setapak, Kuala Lumpur bagi mendapatkan maklumat berhubung amalan pemeriksaan haid secara fizikal membabitkan murid perempuan.

Katanya, pihak kementerian pendidikan (KPM) memandang serius dakwaan pemeriksaan haid dilakukan guru terhadap murid-murid perempuan yang tular sebelum ini.

“Kedatangan saya pada malam ini adalah untuk mendengar dan mendapatkan maklum balas secara terus daripada murid di sekolah berkenaan.

“Selain itu, kami juga mendengar penjelasan daripada pengetua dan guru sekolah. Kami akan perhalusi perkara-perkara yang dimaklumkan semasa perjumpaan sebentar tadi,” katanya dalam satu hantaran di laman Facebook beliau.

Radzi turut menzahirkan komitmen KPM untuk memastikan amalan tersebut tidak terus berlaku.

“KPM sentiasa komited untuk menyediakan persekitaran yang selamat dan selesa di sekolah dan asrama. Ini bagi mewujudkan sekolah yang sejahtera untuk semua,” ujarnya.

Isu tersebut mendapat perhatian umum pada April lalu apabila beberapa pengguna media sosial tampil mendedahkan pengalaman haid mereka diperiksa oleh guru sekolah.

Radzi juga sebelum ini menyeru mereka yang mempunyai maklumat mengenai perkara itu untuk tampil menamakan sekolah-sekolah terlibat.

Amalan pemeriksaan haid di institusi pendidikan difahamkan telah berlaku sejak beberapa dekad lalu dan masih berterusan.

Pemeriksaan dilakukan guru wanita atau ustazah bagi mengelakkan pelajar perempuan tidak hadir untuk solat berjemaah.

Menurut ajaran Islam, wanita yang didatangi haid tidak boleh bersolat.

Bagaimanapun, tindakan itu dianggap melanggar privasi selain menyebabkan aib dan trauma terhadap murid.