- Iklan -
Berita

Pemilik premis hiburan, pengunjung dikompaun RM260,000

Kesemua pengunjung premis hiburan itu disaring negatif dadah ketika serbuan.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Kerajaan tidak membenarkan pusat hiburan beroperasi di bawah penguatkuasaan undang-undang kawalan penyakit berjangkit.
Kerajaan tidak membenarkan pusat hiburan beroperasi di bawah penguatkuasaan undang-undang kawalan penyakit berjangkit.

Seramai 43 pengunjung di sebuah pusat hiburan dikenakan kompaun sebanyak RM235,000, tengah malam tadi.

Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Kuala Lumpur Azman Ayob berkata kesemua mereka yang terdiri daripada 27 lelaki dan 16 wanita didapati melanggar Peraturan 17 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit Pelan Pemulihan Negara 4 2021 (melakukan aktiviti terlarang dalam pub dan kelab malam) semasa tempoh Fasa Empat Pelan Pemulihan Negara (PPN) bagi Kuala Lumpur.

Beliau dalam kenyataan hari ini berkata dalam serbuan itu, kesemua pengunjung telah disaring dan ujian saringan air kencing mereka didapati negatif.

Selain itu katanya, polis turut mengenakan kompaun bernilai RM25,000 kepada pemilik premis berkenaan.

“Polis turut merampas 431 botol pelbagai jenis minuman keras bernilai RM220,500 ekoran kesalahan di bawah Seksyen 76 Akta Eksais 1967 serta rampasan boleh dilucuthak di bawah Akta Kastam 1967.

“Operasi ini akan dipertingkatkan lagi dari semasa ke semasa dalam merealisasikan usaha kerajaan menghentikan penularan wabak Covid-19 di negara ini,” katanya.