Saturday, November 27, 2021

Dikaitkan dengan pembunuhan Altantuya, Najib saman Tommy Thomas

Najib memfailkan saman fitnah tersebut dengan menamakan Thomas dan GB Gerakbudaya Enterprise Sdn Bhd sebagai defendan.

Other News

Najib Razak memfailkan saman terhadap bekas Peguam Negara Tommy Thomas dan sebuah syarikat penerbitan berhubung kenyataan fitnah membabitkan pembunuhan wanita Mongolia Altantuya Shaariibuu dalam buku berjudul “My Story: Justice in the Wilderness.”

Bekas perdana menteri itu memfailkan saman fitnah tersebut melalui Tetuan Shafee & Co di Mahkamah Tinggi hari ini serta menamakan Thomas dan GB Gerakbudaya Enterprise Sdn Bhd sebagai defendan.

Penyataan tuntutan Najib, 68, mendakwa pada 31 Januari lepas, Thomas telah mengarang dan menyebabkan penerbitan buku itu yang mengaitkannya dengan pembunuhan Altantuya.

Beliau mendakwa buku itu telah diterbitkan oleh Gerakbudaya dan diedarkan di negara ini pada hujung Januari lepas dan seterusnya diedarkan secara meluas di pasaran antarabangsa.

Ahli Parlimen Pekan itu mendakwa beberapa ekstrak daripada buku itu termasuk pernyataan fitnah telah diterbitkan semula di laman sesawang seluruh dunia selain mendakwa kedua-dua defendan tidak membuat sebarang pengesahan fakta dengan beliau.

Najib mendakwa pernyataan fitnah itu antaranya membawa maksud beliau telah mengarahkan dua bekas anggota Unit Tindakan Khas iaitu Cif Inspektor Azilah Hadri dan Koperal Sirul Azhar Umar untuk membunuh Altantuya kerana kononnya wanita itu seorang perisik yang mengancam kepentingan negara selain mendakwa beliau telah mengelirukan rakyat mengenai kejadian pembunuhan tersebut bagi menutup kesalahannya.

Dakwanya pernyataan fitnah itu turut membawa maksud beliau telah mempengaruhi peguam Sirul Azhar dan orang lain untuk berjumpa dengan anggota polis tersebut di Villawood, Sydney bagi memastikan Sirul Azhar tidak akan membuat sebarang kenyataan membabitkannya dalam pembunuhan Altantuya.

Plaintif mendakwa tindakan defendan menulis dan menerbitkan pernyataan fitnah itu adalah berniat jahat dan memperlekeh beliau dalam kapasitinya sebagai bekas Perdana Menteri dan Menteri Kewangan.

“Tuduhan-Tuduhan yang dinyatakan dalam buku itu tiada merit, skandal dan dibuat untuk tujuan kolateral politik.

“Oleh itu, Thomas telah menyalahgunakan jawatannya sebagai Peguam Negara untuk mendapatkan ‘keterangan’ bagi menentang saya berhubung pembunuhan Altantuya,” katanya.

Menurut Najib, pada Februari lepas, beliau telah menghantar surat kepada kedua-dua defendan yang menuntut antara lain permohonan maaf, kos dan pampasan namun mereka menafikan dakwaan itu serta enggan menerbitkan permohonan maaf atau membayar ganti rugi yang dituntut.

Najib mendakwa akibat penerbitan pernyataan fitnah itu, reputasinya terjejas dan beliau dipandang serong oleh masyarakat.

Oleh itu, beliau menuntut ganti rugi am, ganti rugi teruk dan ganti rugi teladan serta faedah dan satu perintah agar defendan mengeluarkan pernyataan fitnah daripada buku tersebut.

Turut dituntut, satu injunksi bagi menghalang defendan atau ejen mereka menerbitkan penyataan serupa selain permohonan maaf sekurang-kurangnya dalam tiga akhbar utama pilihan Najib selama tiga hari berturut-turut.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles