Saturday, November 27, 2021

SPRM tahan 16 pengarah syarikat disyaki seleweng puluhan juta geran kerajaan

Puluhan juta dilesapkan oleh kumpulan tersebut yang pada asalnya memohon geran Mitra bagi melaksanakan program sosioekonomi masyarakat India di Malaysia.

Other News

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan 16 pengarah syarikat disyaki terlibat penyelewengan geran peruntukan dikeluarkan Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (Mitra), agensi di bawah sebuah kementerian, tengah malam tadi.

Sumber SPRM berkata kesemua suspek ditahan dalam satu operasi besar-besaran di sekitar Lembah Klang bermula semalam.

Sumber itu menyebut dianggarkan puluhan juta dilesapkan oleh kumpulan ini yang pada asalnya memohon geran peruntukan Mitra bagi melaksanakan program-program sosioekonomi masyarakat India di Malaysia.

Menurut sumber, kes ini akan merangkumi semua bentuk permohonan dan perbelanjaan peruntukan geran yang telah disalurkan oleh Mitra bermula 2018 hingga kini.

“Kita menganggarkan hampir 60% daripada peruntukan geran yang diterima oleh syarikat, orang perseorangan dan yayasan bagi tujuan pelaksanaan program pembangunan sosioekonomi tidak sampai kepada kumpulan sasaran yang sepatutnya.

“Peruntukan ini dipohon dari Mitra dan kemudian diselewengkan untuk kepentingan individu tertentu,” kata sumber itu.

Sumber menjelaskan tiada program dibuat serta tiada pernyataan perbelanjaan dapat dikemukakan oleh pihak berkuasa.

“Mitra telah distruktur semula pada 2018 semasa pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri.

“Namun pada April 2020 hingga kini, Mitra diletakkan di bawah kementerian perpaduan negara dan dianggarkan Mitra memperoleh bajet RM100 juta setahun,” katanya.

Sumber berkata kesemua suspek berumur lingkungan 24 hingga 68 tahun itu akan dihadapkan Ke Mahkamah Majistret Putrajaya hari ini bagi proses reman di bawah Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah.

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan kesemua penahanan berkenaan.

“Siasatan dibuat di bawah Seksyen 16 (a) dan Seksyen 18 Akta SPRM 2009,” katanya.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles