- Iklan -
Berita

Majlis agama Singapura umum garis panduan pemakaian tudung di hospital

Ia dikeluarkan menjelang dasar baru kerajaan yang membenarkan jururawat memakai tudung di premis kesihatan awam Singapura berkuat kuasa 1 November depan.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Jururawat Muslim di Singapura dibenarkan memakai tudung di tempat kerja berkuat kuasa 1 Novemebr depan dengan garis panduan Muis. Gambar: AP
Jururawat Muslim di Singapura dibenarkan memakai tudung di tempat kerja berkuat kuasa 1 Novemebr depan dengan garis panduan Muis. Gambar: AP

Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) mengeluarkan garis panduan pemakaian yang menyatakan penganut Islam yang memakai tudung boleh melakukan beberapa penyesuaian mengikut keperluan termasuk dalam mematuhi syarat kod pakaian tempat kerja.

Bagaimanapun, jawatankuasa fatwa Muis yang terdiri daripada pakar agama Islam dan merupakan badan bertanggungjawab dalam menetapkan undang-undang keagamaan di Singapura tidak memperincikan rekaan atau ukuran tudung jururawat Muslim yang boleh dipakai mereka.

Dengan keluarnya garis panduan Muis tersebut, jururawat kini boleh mematuhi dasar hospital “dedah dari paras siku (BBE).”

Seperti doktor, golongan jururawat juga perlu memakai pakaian tidak berlengan bagi memastikan lengan mereka terdedah ketika merawat pesakit untuk mengelak daripada risiko jangkitan selain bagi memastikan keselamatan petugas kesihatan dan pesakit.

Kebiasaannya, wanita Muslim yang memakai tudung akan turut menutup lengan mereka sehingga pergelangan tangan kerana ia dianggap sebagai aurat.

Namun, Muis berkata melindungi orang ramai daripada bahaya dan mudarat juga merupakan asas ajaran yang ditekankan agama Islam.

Garis panduan yang dilihat selari dengan dasar tempat kerja terutama bagi hospital tersebut dikeluarkan menjelang penguatkuasaan kebenaran pemakaian tudung bagi wanita Muslim di negara itu mulai 1 November depan.

Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong mengumumkan perubahan dasar tersebut dalam ucapan sempena Hari Kebangsaan Singapura 29 Ogos lalu.

Dasar tersebut diperkenalkan selepas beberapa tahun kerajaan mendapatkan nasihat dan konsensus akhirnya dicapai pada tahun ini berkenaan perkara tersebut.

Dasar itu juga bakal terpakai kepada lebih 7,000 petugas kesihatan di Singapura.

Sebelum ini, dasar sekular Singapura berkait pemakaian di institusi awamnya menetapkan ia tidak boleh condong kepada mana-mana kepercayaan agama.

Bagaimanapun, dengan dasar baru tersebut, penggubal undang-undang Singapura menyifatkan ia adalah isyarat bahawa perkhidmatan awam Singapura mengamalkan kesetaraan agama.

Menteri Hal Ehwal Islam Masagos Zulkifli ketika mengulasnya berkata, pakaian seragam penjawat awam adalah “tanda yang boleh dilihat bahawa perkhidmatan diberikan sama rata tanpa mengira kaum atau agama.”