Saturday, November 27, 2021

Kerajaan sediakan belanjawan pasca pandemik dengan sasaran PRU tahun depan

Penganalisis menjangka belanjawan pembangunan lebih tinggi pada 2022 selari dengan ikrar kerajaan bulan lalu yang mahu memperuntukkan RM400 bilion bagi projek baru dan sedia ada dalam tempoh lima tahun akan datang.

Other News

Dibantu lonjakan harga eksport gas, kerajaan dijangka mengumumkan belanjawan yang diperluaskan pada Jumaat bagi memperkasa usaha pemulihan kesan pandemik selain bersiap untuk menghadapi pilihan raya yang dijangka bakal diadakan seawal pertengahan tahun depan.

Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob yang memegang jawatan nombor satu itu bermula Ogos lalu bersetuju untuk tidak membubarkan Parlimen sebelum hujung Julai 2022 sebagai sebahagian daripada persetujuan bersama pembangkang bagi mengekalkan kestabilan politik ketika negara mulai pulih daripada krisis Covid-19.

Perjanjian itu termasuk komitmen ahli Parlimen pembangkang untuk menyokong atau berkecuali ketika pembentangan Belanjawan 2022 kerajaan.

Malaysia mengurangkan unjuran ekonominya sebanyak dua kali pada tahun ini apabila sekatan pergerakan penuh Covid-19 menjejaskan proses pemulihannya, namun kini menjangka pertumbuhan sebanyak 3% hingga 4% pada 2021, lebih rendah daripada unjuran awal sebanyak 6% hingga 7.5%.

Dalam kenyataan pada Ogos, kementerian kewangan berkata ia akan menumpukan belanjawan bagi usaha pemulihan dan pembaharuan pasca Covid-19 selain menyediakan bantuan sokongan untuk orang ramai dan perniagaan yang terjejas akibat sekatan pergerakan penuh berpanjangan di seluruh negara.

Penganalisis menjangkakan pengumumuman belanjawan pembangunan yang lebih tinggi pada 2022.

Jangkaan itu selari dengan ikrar kerajaan bulan lalu yang mahu memperuntukkan RM400 bilion (AS$96.4 bilion) bagi projek baru dan sedia ada dalam tempoh lima tahun akan datang.

Kerajaan juga boleh menyediakan terlebih dahulu dana luar jangka memandangkan ketidakpastian mengenai wabak dan kemungkinan pilihan raya diadakan tahun depan, kata Kenanga Investment Bank dalam sebuah kenyataan.

Kementerian kewangan menjangkakan defisit fiskal 2021 akan melebar antara 6.5% hingga 7% daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK) dan menaikkan siling hutang berkanunnya kepada 65% ketika kerajaan mengeluarkan tambahan bagi menangani impak Covid-19.

Selain itu, kerajaan juga sedang mempertimbangkan langkah untuk menambah baik pematuhan cukai dan menangani ketirisan kewangan berikutan dengan hasil negara tahun ini dijangka lebih rendah daripada unjuran.

Kerajaan Malaysia juga mungkin boleh mendapatkan sumbangan dividen yang lebih tinggi daripada syarikat milik kerajaan, termasuk Petronas, bagi menangani kekurangan hasil pada masa hadapan, kata pakar ekonomi.

Malaysia yang merupakan salah satu pengeksport cecair gas asli terbesar di dunia mendapat manfaat daripada lonjakan harga bahan tenaga global baru-baru ini.

“Sememangnya, jika peningkatan harga komoditi berterusan, dividen khas daripada Petronas mungkin membentuk salah satu kunci utama strategi pendapatan kerajaan tahun depan,” kata ahli ekonomi Bank OCBC Wellian Wiranto.

Petronas meningkatkan dividen 2021 kepada kerajaan kepada RM25 bilion, melebihi sasaran awal sebanyak RM18 bilion.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles