Saturday, December 4, 2021

Fasa 4 tak sama dengan suasana pilihan raya, kata Hishammuddin

Kerajaan perlu imbangi aspek keselamatan dan kesihatan dengan tuntutan demokrasi.

Other News

Suasana Fasa Empat di Melaka tidak boleh disamakan dengan suasana Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang bakal berlangsung bulan depan, kata Menteri Kanan Pertahanan Hishammuddin Hussein.

Katanya, pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) berhubung pilihan raya negeri tidak wajar dipolemik atau dipolitikkan.

“Memang majlis kahwin, kenduri dan majlis rasmi dibenarkan di bawah Fasa Empat, tetapi saya nak ingatkan tak boleh kita samakan suasana Fasa Empat dan suasana PRN,” katanya pada sidang media di Parlimen hari ini.

Katanya, kerajaan perlu memastikan tiada dwistandard dalam menguatkuasakan SOP sehingga Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengambil alih pada 8 November ini, apabila PRN Melaka secara rasmi bermula.

Beliau mempertahankan keputusan kemterian kesihatan (KKM) untuk tidak membenarkan sebarang majlis dan aktiviti berkaitan PRN Melaka yang berkuatkuasa semalam.

“Saya percaya KKM membuat keputusan berdasarkan apa yang berlaku beberapa hari sebelum yang mana kita tengok banyak perhimpunan dan majlis yang dianggap sosial, namun ada kaitan pilihan raya.

“Ia melibatkan ramai individu berkumpul.. lebih 50% daripada yang ditetapkan SOP biasa. Ramai tidak memakai pelitup muka dan penjarakan sosial pun tidak dipatuhi.

“Itu trend yang kita tak boleh benarkan ketika ini,” katanya.

Katanya, kerajaan perlu memastikan tiada perkara yang boleh mengundang kemarahan rakyat terhadap ahli atau parti politik.

Menurut ahli Parlimen Sembrong itu, kerajaan akan dilihat janggal jika SOP longgar dilaksanakan sebelum PRN tetapi berubah selepas SPR mengambil alih.

“Kita belajar daripada pengalaman sebelum ini, jadi SOP yang kita ketengahkan semasa PRN Sabah dikemaskini untuk Melaka, dan sekiranya ada keperluan untuk pilihan raya kecil atau PRN lain, Majlis Keselamatan Negara akan membantu dari segi konsistensi dan menyesuaikan apa yang ada (SOP) mengikut keadaan semasa,” katanya.

Semalam, Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan ketika perbahasan di Dewan Rakyat menyatakan bantahan terhadap pelaksanaan SOP KKM yang melarang aktiviti berkaitan pilihan raya.

Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail dan Presiden Amanah Mohamad Sabu turut senada dengan ahli Parlimen Pontian itu.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles