Saturday, November 27, 2021

Erdogan tarik semula ancaman usir duta negara Barat

Penarikan semula ancaman tersebut adalah susulan kenyataan duta AS dan sekutunya menyatakan mereka akur dengan konvensyen PBB bahawa diplomat tidak boleh campur tangan urusan dalaman negara tuan rumah.

Other News

Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan pada Isnin menarik semula ancamannya untuk mengusir 10 duta negara-negara Barat berikutan kenyataan bersama mereka yang menyokong seorang pemimpin masyarakat sivil yang dipenjarakan di negara itu.

Beliau menarik semula ancaman itu selepas Amerika Syarikat (AS) dan beberapa negara lain yang terlibat mengeluarkan kenyataan tersebut berkata mereka menghormati konvensyen PBB yang menggariskan diplomat tidak boleh mencampuri urusan hal ehwal dalam negeri negara tuan rumah.

Erdogan berkata kenyataan terbaru itu “menunjukkan mereka telah tarik semula fitnah terhadap negara kami”

“Mereka akan lebih berhati-hati sekarang.”

Mata wang Lira Turki kembali meningkat dari paras terendahnya berikutan krisis beberapa hari antara Turki dan Barat itu.

Ia sebelum ini dijangka menjadi krisis diplomatik paling serius sepanjang pentadbiran 19 tahun Erdogan.

Krisis tersebut bermula dengan kenyataan bersama dibuat oleh kedutaan AS, Jerman, Kanada, Denmark, Finland, Perancis, Belanda, New Zealand, Norway dan Sweden supaya Turki segera menyelesaikan kes undang-undang terhadap seorang tokoh aktivis dermawan yang dipenjarakan, Osman Kavala.

Pemimpin masyarakat sivil dan ahli perniagaan berusia 64 tahun itu telah dipenjarakan tanpa sabitan selama empat tahun.

Penyokong melihat Kavala sebagai simbol golongan tidak bersalah yang menjadi mangsa sikap keras kerajaan terhadap pihak berbeza pandangan politik sejak Erdogan terselamat daripada kudeta tentera yang gagal dilakukan pada 2016.

Erdogan menuduh Kavala membiayai gelombang protes anti-kerajaan 2013 dan turut memainkan peranan dalam percubaan rampasan kuasa.

Selepas mempengerusikan mesyuarat Kabinet yang membincangkan krisis tersebut Erdogan berkata “tugasnya sebagai ketua negara adalah untuk memberikan respons yang diperlukan” terhadap pencabulan hak kedaulatan Turki oleh negara asing.

“Badan kehakiman Turki tidak menerima arahan daripada sesiapa, dan tidak berada di bawah perintah sesiapa,” kata Erdogan dalam sebuah temu bual di televisyen.

“Niat kami sama sekali bukan untuk mencipta krisis tetapi untuk melindungi hak, undang-undang, kehormatan, kepentingan dan hak kedaulatan kami.”

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles