- Iklan -
Berita

RM500 bantuan hilang pendapatan akibat pandemik akan diagih mulai esok

BKP diberikan kepada pekerja yang kehilangan sumber pendapatan berdasarkan data KWSP atau Perkeso dalam tahun 2021.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Hampir 870,000 individu hilang pendapatan akibat pandemik Covid-19 pada tahun ini.
Hampir 870,000 individu hilang pendapatan akibat pandemik Covid-19 pada tahun ini.

Bantuan Kehilangan Pendapatan (BKP) sebanyak RM500 akan dibayar secara sekali beri (one-off) mulai esok bagi membantu rakyat yang terkesan akibat Covid-19, kata Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata bantuan itu akan memberi manfaat kepada hampir 870,000 individu yang hilang pendapatan pada tahun ini.

“Kesemua bantuan ini melibatkan implikasi kewangan sebanyak RM434 juta demi memastikan kesejahteraan Keluarga Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

BKP diberikan kepada pekerja yang kehilangan sumber pendapatan berdasarkan data Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) atau Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dalam tahun 2021.

Ismail berkata kerajaan terus komited dalam memastikan kesejahteraan Keluarga Malaysia sentiasa terbela, terutama kumpulan sasar yang terjejas akibat pandemik Covid-19.

Beliau berharap semoga bantuan berkenaan dan juga bantuan tunai lain yang disediakan kerajaan dapat mengurangkan beban kewangan Keluarga Malaysia dalam mengharungi tempoh masih mencabar ini.

Semakan status kelulusan BKP boleh dibuat mulai esok melalui Portal BKP, iaitu https://bkp.hasil.gov.my dan untuk maklumat lanjut, penerima BKP juga boleh merujuk Soalan Lazim (FAQ) yang turut dimuat naik di portal berkenaan.