- Iklan -
Berita

Badan pemikir kesihatan gesa cukai terhadap vape, duti rokok dinaikkan

Galen Center for Health & Social Policy berkata usaha yang lebih besar diperlukan untuk menangani penyakit tidak berjangkit.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Badan pemikir kesihatan Galen Center berkata cukai perlu dikenakan ke atas barangan cecair nikotin bagi peralatan vape, dan cecair nikotin.
Badan pemikir kesihatan Galen Center berkata cukai perlu dikenakan ke atas barangan cecair nikotin bagi peralatan vape, dan cecair nikotin.

Badan pemikir kesihatan Galen Center hari ini menggesa cukai dinaikkan bagi produk tembakau dan cukai serupa dikenakan terhadap vape dan rokok elektronik sebagai salah satu langkah berkaitan kesihatan menjelang Belanjawan 2022.

Ketua Pegawai Eksekutif Galen, Azrul Mohd Khalib berkata, gesaan tersebut dibuat kerana duti eksais terhadap produk tembakau, terutama rokok, dibekukan sejak 2015.

Beliau mencadangkan kenaikan cukai rokok sebanyak 61.8% daripada harga runcit semasa menjadikan harga sekotak rokok sebanyak RM24.90.

“Kajian menunjukkan kenaikan duti ini berpotensi menyumbang RM3.36 bilion hasil cukai, iaitu peningkatan sebanyak 30% daripada jumlah kutipan cukai pada 2019,” tambahnya.

Dalam sebuah kenyataan, beliau berkata kerajaan juga perlu mengenakan cukai terhadap produk seperti vape dan rokok elektronik.

“Duti eksais harus merangkumi bahan nikotin dan cecair bukan nikotin dan jus nikotin,” katanya.

Cadangan tersebut merupakan sebahagian daripada gesaan tegas Galen yang mahu kerajaan memperkasakan komitmen bagi menangani penyakit tidak berjangkit (NCD) yang keadaannya semakin buruk sejak pandemik Covid-19 melanda negara.

Azrul berkata belanjawan kesihatan harus dinaikkan antara RM35 dan RM40 bilion, sementara dana baru harus disalurkan bagi usaha pencegahan dan mengubati barah, diabetes, dan penyakit kardiovaskular.

“Jika kita mahu menangani isu kesihatan sedia ada, peralatan lama, mengekalkan kakitangan pakar, menyediakan dan memastikan daya tahan terhadap pandemik pada masa depan seperti Covid-19, kebanyakan infrastruktur kesihatan Malaysia, termasuk rakyatnya, memerlukan pelaburan tambahan dan pemodenan,” katanya.

“Jelas sekali, sekarang bukan masanya untuk kurangkan pelaburan dalam kesihatan.”

Beliau juga menggesa dana lebih mampan bagi penyakit barah dan pelaburan dilakukan untuk meningkatkan infrastruktur di Sabah dan Sarawak.

Menurutnya, 3.9 juta orang kini menghidap diabetes, dan lebih 66,000 rakyat Malaysia dijangka akan didiagnosis menghidap kanser setiap tahun menjelang 2030 sementara satu pertiga daripada penduduk Malaysia menghidap tekanan darah tinggi.

“Sifat kronik NCD bermaksud pesakit menderita lebih lama dan memerlukan lebih banyak rawatan perubatan. Kos ekonomi yang dihasilkan adalah tinggi dan semakin meningkat.

“Menurut kementerian kesihatan dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), pada 2020, penyakit kardiovaskular, diabetes dan kanser menyebabkan kerugian produktiviti hampir RM9 bilion setiap tahun terhadap ekonomi Malaysia,” katanya.