- Iklan -
Berita

Australia rancang kuat kuasa kebenaran ibu bapa sebelum anak guna media sosial

Peraturan baru yang dicadangkan itu menjadikan Australia negara yang memiliki garis panduan paling ketat berhubung penggunaan media sosial.

Reuters
2 minit bacaan
Kongsi
Kanak-kanak sedang menggunakan peranti internet iPad. Gambar: AP
Kanak-kanak sedang menggunakan peranti internet iPad. Gambar: AP

Australia merancang untuk menetapkan syarikat media sosial mendapatkan kebenaran ibu bapa terlebih dahulu sebelum pengguna di bawah umur 16 tahun menggunakan platform yang disediakan mereka selain turut mengancam denda sehingga A$10 juta (AS$7.5 juta) dikenakan jika gagal mematuhinya, di bawah rang undang-undang yang diterbitkan pada Isnin.

Beberapa syarikat media sosial termasuk forum nirnama seperti Reddit dan aplikasi temu janji Bumble turut dikehendaki mengambil semua langkah yang munasabah dalam menentukan umur pengguna selain perlu mengutamakan kecenderungan kanak-kanak ketika pengumpulan data, kata Rang Undang-Undang Privasi Dalam Talian tersebut.

Peraturan baru yang dicadangkan tersebut akan menjadikan Australia antara negara yang memiliki garis panduan paling ketat dari sudut kawalan usia dalam penggunaan media sosial.

Peraturan itu juga adalah bagi membangunkan usaha mengekang kawalan syarikat-syarikat besar teknologi susulan pembayaran lesen mandatori bagi syarikat media dan rancangan bagi memperkasakan undang-undang maklumat palsu dan fitnah dalam talian .

Bulan ini, Facebook menghadapi kemarahan penggubal undang-undang di AS selepas bekas pekerja syarikat dan pemberi maklumat menyerahkan ribuan dokumen kepada penyiasat kongres di tengah-tengah kebimbangan syarikat itu membahayakan kesihatan mental kanak-kanak dan telah menimbulkan perpecahan masyarakat, suatu perkembangan yang turut dipetik ahli Parlimen Australia pada Isnin.

“Kami sedang memastikan data dan privasi (warga Australia) dilindungi dan dikendalikan dengan berhati-hati,” kata Peguam Negara Australia Michaelia Cash dalam satu kenyataan.

“Draf undang-undang kami bermaksud syarikat-syarikat ini akan dikenakan hukuman berat jika mereka tidak memenuhi standard tersebut,” tambahnya.

Pembantu Menteri bagi Kesihatan Mental dan Pencegahan Bunuh Diri David Coleman berkata “kebocoran penyelidikan dalaman Facebook sendiri menunjukkan impak platform media sosial terhadap imej badan dan kesihatan mental golongan muda”.

Pengarah dasar awam Facebook di Australia dan New Zealand, Mia Garlick berkata dalam satu kenyataan syarikat itu sedang menyemak undang-undang yang dicadangkan dan memahami “betapa pentingnya untuk memastikan undang-undang privasi Australia berkembang selari dengan kadar inovasi dan teknologi baru yang kita alami pada hari ini’.

Di bawah draf undang-undang tersebut, pemantau privasi, Pejabat Pesuruhjaya Maklumat Australia akan menerima kuasa penyiasatan dan penguatkuasaan secara penuh.

Ia dibenarkan untuk mengenakan denda terhadap sebuah syarikat hingga sehingga A$10 juta, 10% daripada perolehan tahunan atau tiga kali faedah kewangan bagi setiap pelanggaran undang-undang.