Friday, December 3, 2021

Tindakan Indonesia hentikan eksport CPO bakal jejaskan sektor pemprosesan tempatan, kata MPOB

Bagaimanapun, pemain industri berkata Malaysia juga harus mencari jalan memperkasakan sektor hiliran industri sawit tempatan.

Other News

Sektor pemprosesan tempatan bakal terjejas dengan rancangan Indonesia untuk menghentikan eksport minyak sawit mentah (CPO) ke pasaran luar sekiranya bahan mentah itu tidak mencukupi untuk diproses lanjut dalam negara.

Presiden Indonesia Joko Widodo mengumumkan negara itu mahu menghentikan eksport minyak sawit secara mentah dan menggantikannya dengan produk yang telah siap diproses, antaranya kosmetik, marjerin dan biodiesel.

Menurut Joko, Indonesia yang merupakan pengeksport CPO terbesar dunia harus berani mengambil langkah itu meskipun berdepan risiko tindakan oleh Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO).

Ketua Pengarah Lembaga Minyak Sawit Mentah (MPOB), Ahmad Parveez Ghulam Kadir berkata, situasi itu dikhuatiri terjadi meskipun pengeluaran CPO Malaysia masih mampu menampung permintaan minyak sawit dari negara-negara pengimport.

“Pada masa ini, lebih 70% produk sawit yang dieksport adalah dalam bentuk diproses.

“Sekiranya pengeksportan dalam bentuk CPO meningkat bagi memenuhi permintaan dari negara-negara seperti India, China dan Kesatuan Eropah (EU), kadar penggunaan kapasiti tempatan bagi sektor kilang penapis dijangka akan terus menurun kerana memenuhi permintaan eksport CPO.

“Jika ini berlaku, operasi kilang-kilang penapis akan terjejas termasuk permintaan ke atas produk sawit diproses,” katanya kepada MalaysiaNow.

Parveez turut berkata keadaan ini boleh menjejaskan usaha kerajaan untuk memperkasa industri hiliran dan meningkatkan pendapatan melalui produk-produk bernilai tambah.

MPOB menjangkakan penghasilan minyak sawit akan meningkat secara berkala dalam tempoh lima hingga 10 tahun.

Penghasilan itu dijangka mencecah 22 juta tan pada 2025 dan meningkat kepada 25 juta tan pada 2030.

Indonesia dan Malaysia merupakan pengeksport minyak sawit terbesar dan kedua terbesar dunia.

Menurut data Statistica, penggunaan minyak sawit global dijangka meningkat dari 41 juta tan metrik pada 2008 kepada 77 juta tan metrik pada tahun ini.

Penggunaan terbesar minyak sawit ialah dalam penyediaan makanan disusuli penggunaan industri dan kegunaan lain.

Malaysia dan Indonesia juga berdepan tekanan dari EU yang menjalankan kempen negatif terhadap minyak sawit keluarannya.

Pada 2019, bekas Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad mengugut untuk membeli jet dari China sekiranya EU meneruskan pengharaman minyak sawit dalam bentuk biodiesel.

Ketika mengulas mengenai sama ada Malaysia wajar mengikut langkah yang sama, Parveez berkata ia perlu diteliti secara lanjut dengan pihak kementerian namun setakat MPOB tiada rancangan untuk menyekat eksport CPO ke pasaran luar.

“Sebagai industri berorientasikan eksport, lebih kurang 85% daripada pengeluaran CPO negara adalah untuk pasaran eksport yang majoritinya dalam bentuk minyak sawit diproses.

“Namun begitu, eksport CPO dilihat telah dan sedang menunjukkan trend peningkatan ekoran permintaan yang menggalakkan dari negara-negara pengimport, terutamanya India,” katanya.

Parveez turut berkata, keperluan negara-negara pengimport utama CPO akan terjejas dan mengakibatkan bahan itu akan digantikan dengan minyak sayuran lain sekiranya Malaysia mengikuti langkah yang sama.

“Ia akan merugikan industri sawit untuk jangka masa panjang.”

Mengulas lanjut mengenai langkah Indonesia itu, beliau berkata sebilangan besar pemain industri Indonesia dijangka akan mendapat kebaikan daripada rancangan yang diumumkan Joko, terutama syarikat perladangan yang turut memiliki kilang pemprosesan dan pelumatan.

Jelas beliau, ia bermakna pemain-pemain industri di negara itu mempunyai kawalan sepenuhnya terhadap jaringan pemasaran global.

“Masih terlalu awal untuk menilai kebaikan dan keburukan langkah ini kepada Indonesia, namun ianya dijangka memberi kesan kepada pendapatan negara Indonesia kerana hasil kutipan cukai eksport dan levi akan terjejas.

“Selain daripada itu, eksport ke negara-negara sektor perindustrian seperti India, China dan EU juga dijangka akan terkesan kerana mereka sememangnya memerlukan CPO sebagai bahan mentah,” katanya.

Sementara itu, seorang pemain kanan industri dari Sarawak, Andrew Cheng berkata, tindakan Indonesia yang menggalakkan industri hiliran memberi nilai tambah dan diversifikasi produk akhir yang dieksport dan ia juga boleh digunakan  300 juta penduduk Indonesia tanpa perlu dieksport.

“Kita membeli produk akhir CPO dari negara luar selepas kita menjual CPO.

“Kos pelaburan industri hiliran dan penyediaan teknologi diperlukan untuk Malaysia,” katanya sekali gus mencadangkan agar pemain industri menyertai usahasama dengan negara luar yang boleh menyediakan kedua-dua perkara itu.

Menurut Andrew, Malaysia perlu mencari jalan untuk menjana industri hiliran dan nilai tambah industri sawit, selain menambah baik strategi pemasaran bagi produk-produk bahan mentah tersebut memandangkan populasi Malaysia seramai 30 juta adalah jauh lebih kecil berbanding Indonesia.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles