- Iklan -
Berita

Bekerja dari rumah ubah trend pembelian hartanah

Pembeli rumah tidak lagi begitu terdorong untuk mencari rumah yang terletak di kawasan bandar.

Azzman Abdul Jamal
3 minit bacaan
Kongsi
Kawasan perumahan di sekitar Cyberjaya. Trend pembelian rumah kini bertukar berpunca daripada pandemik Covid-19.
Kawasan perumahan di sekitar Cyberjaya. Trend pembelian rumah kini bertukar berpunca daripada pandemik Covid-19.

Budaya kerja dari rumah yang diamalkan kebanyakan tempat kerja untuk mengekang pandemik Covid-19 menyebabkan perubahan trend pembelian hartanah dari bandar ke luar bandar, menurut kajian dilakukan PropertyGuru.

Pengurus Negara PropertyGuru Malaysia Sheldon Fernandez berkata kebanyakan 10 projek perumahan teratas dengan jumlah transaksi tertinggi merupakan kawasan jauh dari pusat bandar iaitu di Bukit Sentosa dan Bandar Bukit Beruntung di Rawang, Selangor serta Bandar Putra di Kulai, Johor.

“Ini juga didorong oleh amalan kerja dari rumah (WFH) ekoran penularan Covid-19 yang mana keutamaan pembeli berubah. Ini bermakna faktor membeli rumah tidak semestinya terletak berhampiran kawasan bandar,” katanya kepada MalaysiaNow.

“Pembangunan pada masa hadapan disertakan aksesibiliti yang lebih banyak bakal mendatangkan impak yang besar terhadap nilai hartanah sedia ada.”

Kajian yang dijalankan cabang penyelidikan PropertyGuru, PropertyGuru DataSense itu turut mendapati permintaan terhadap pembelian rumah dengan keluasan tanah yang lebih besar di kawasan luar bandar meningkat dan mendorong kenaikan transaksi pembelian di kawasan bandar kecil pada suku pertama (Q1) 2021.

Menurut Fernandez, pembinaan lebih banyak kemudahan dan penghubung pengangkutan awam seperti LRT, MRT atau stesen kereta api mampu melonjakkan nilai hartanah di kawasan tersebut.

“Kebiasaannya, apabila lebih ramai orang berpindah ke sesuatu kawasan, kita akan saksikan pelbagai pembangunan seperti pembinaan pusat beli-belah yang juga akan mendorong kenaikan harga,” katanya.

Mengulas lanjut, Fernandez berkata, antara faktor golongan muda sukar membeli rumah adalah disebabkan ketidakpadanan tawaran dan permintaan terutama di kawasan bandar yang mana harga rumah di kawasan itu disifatkan sebagai terlalu tinggi selain kekurangan minat terhadap produk yang ditawarkan di pasaran.

“Keutamaan golongan muda sudah berubah. Mereka akan mengambil kira lokasi, kemudahan dan harga serta beberapa faktor lain.

“Selain itu, terdapat perbezaan ketara dari segi pendapatan dan harga rumah. Pertumbuhan purata gaji yang lebih perlahan berbanding kenaikan harga rumah yang mendadak amat menyukarkan rakyat Malaysia untuk memiliki kediaman sendiri,” katanya.

Katanya, lonjakan harga komiditi turut memberi kesan terhadap kenaikan kos pembinaan dan pembangunan hartanah dan menambah ini juga termasuk kos tinggi untuk pematuhan beberapa peraturan, pembelian tanah, kekurangan tanah, kos pembinaan dan bahan binaan serta upah buruh.

Menurut Fernandez, tidak mustahil untuk nilai hartanah untuk menyusut dan ini dapat disaksikan ketika penularan Covid-19 bermula pada awal tahun lalu.

“Indeks Permintaan Harga Hartanah PropertyGuru Malaysia telah berada dalam trend menurun sejak Q2 2020 dengan penyusutan tahun-ke-tahun sebanyak 2.16% sejak kes Covid-19 mula direkodkan dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan.

“Selain itu, laporan Indeks Pasaran Hartanah turut menunjukkan terdapat penurunan suku-ke-suku terhadap permintaan harga di kawasan Mont Kiara (-3.04%) dan KLCC (-6.86%) ekoran selera belian yang lebih rendah,” katanya.

Menjelang pembentangan Belanjawan 2022, Fernandez berkata, pihaknya menyarankan supaya kerajaan pertimbang melaksanakan Kempen Pemilikan Rumah (HOC) di peringkat Pasaran Sekunder Kediaman selain melanjutkannya sehingga 2022.

“Sekiranya HOC dilanjutkan ke pasaran sekunder, ia mampu melonjakkan pasaran rumah dan menggalakkan pembeli rumah kali pertama untuk pertimbang rumah ‘subsale’, terutama apabila pengecualian duti setem boleh bantu mengurangkan kos pendahuluan.

“Ini adalah selari dengan Kajian Sentimen Pengguna PropertyGuru yang mendapati 84% rakyat Malaysia percaya bahawa kerajaan masih berupaya membantu membuatkan harga rumah lebih mampu milik dengan 58% ingin kerajaan melanjutkan HOC terhadap rumah ‘subsale’,” katanya.

Selain itu, katanya, kerajaan juga diharap untuk memperkenalkan insentif sewa yang dapat memanfaatkan penyewa dan pemilik seperti yang dilakukan kerajaan New South Wales di Australia.

“Insentif itu membolehkan pemilik rumah membuat tuntutan kewangan sekiranya mengurangkan bayaran sewa terhadap penyewa yang terjejas akibat Covid-19.

“Selain itu, kami juga berharap kerajaan sama ada akan melanjutkan atau menyemak turun pengecualian cukai keuntungan harta tanah (RPGT) ketika rakyat Malaysia dan pasaran hartanah sedang menuju ke arah pemulihan,” katanya.