- Iklan -
Berita

Situasi naik turun Covid-19 di seluruh dunia

Situasi pandemik berubah kepada keadaan yang membimbangkan selepas dua bulan menyaksikan keadaan mula bertambah baik berikutan keadaan wabak di Eropah dan AS.

AFP
2 minit bacaan
Kongsi
Seorang warga emas di pusat saringan Covid-19 di Jerman. Eropah menyaksikan peningkatan kes sejak awal Oktober. Gambar: AP
Seorang warga emas di pusat saringan Covid-19 di Jerman. Eropah menyaksikan peningkatan kes sejak awal Oktober. Gambar: AP

Selepas dua bulan keadaan bertambah baik, situasi wabak Covid-19 minggu ini kembali bertukar buruk semula di seluruh dunia, ditambah pula keadaan yang makin merosot di Eropah dan Amerika Syarikat.

Keadaan global berdasarkan pangkalan data AFP adalah seperti berikut:

Kembali meningkat

Jumlah kes harian baru meningkat sebanyak 2% di seluruh dunia kepada 410,654, setakat kiraan data AFP pada Khamis.

Namun terdapat perbezaan ketara di antara wilayah-wilayah dunia.

Penularan pandemik mulai dilihat menguncup secara perlahan sejak akhir Ogos, namun ia mulai meningkat di beberapa kawasan baru, terutama di bahagian Eropah Tengah dan Eropah Timur di mana kadar vaksinasi yang masih rendah di seluruh benua itu.

Kes juga melonjak di UK yang sebelum ini telah membatalkan hampir semua sekatan pergerakannya.

Walau bagaimanapun, kes yang disahkan hanya menggambarkan sebilangan kecil daripada jumlah jangkitan sebenar berikutan kaedah pengiraan dan tahap ujian saringan yang berbeza di antara negara.

Keadaan Eropah membimbangkan

Minggu ini keadaan juga merosot secara mendadak di Eropah, dengan peningkatan sebanyak 16% dalam jumlah kes baru yang direkodkan.

Jangkitan juga meningkat 2% di Timur Tengah.

Namun di kawasan lain di dunia, kadar penularan pandemik dilihat semakin rendah, dengan 16% kes lebih rendah di Asia, 13% di Afrika, AS dan Kanada dan kurang 4% di Amerika Latin dan Caribbean.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), jumlah sebenar kes di Afrika adalah tujuh kali lebih tinggi daripada angka rasmi ekoran kekurangan pelaksanaan ujian saringan.

Kematian semakin meningkat

Dunia turut menyaksikan peningkatan dalam jumlah kematian harian yang meningkat sebanyak 2% kepada 6,905 sehari.

Kenaikan itu turut tercetus akibat lonjakan 10% di Eropah dan peningkatan kematian sebanyak 9% di AS dan Kanada.

Bagaimanapun, terdapat penurunan 17% dalam jumlah kematian di Asia.

AS mencatat jumlah kematian terbesar setiap hari sebanyak 1,703, diikuti Rusia dengan 1,011, dan Romania berada di tempat ketiga dengan 389 kes.

Lonjakan terbesar

Syria menyaksikan lonjakan terbesar jumlah kes baru dengan peningkatan sebanyak 153% dari sudut negara.

Namun rantau yang menyaksikan peningkatan tertinggi minggu adalah di Eropah, dengan kenaikan 95% kes di Republik Czech, 80% di Hungary dan 78% di Poland.

Penurunan kes paling banyak

Di sudut lain, Cuba menyaksikan penurunan kes sebanyak 38%, menjadikan ia sebagai negara yang mencatat penurunan paling banyak, diikuti Filipina (36%), Guatemala (28%), Myanmar (27%) dan Mexico (yang menurun sebanyak seperempat dari jumlah kes hariannya).

AS catat jangkitan tertinggi

AS kekal menjadi negara yang mencatat jumlah kes baru tertinggi, dengan 75,442 kes sehari.

Ia diikuti UK dengan 46,255 dan Rusia sebanyak 34,026.

Berdasarkan angka per kapita, negara yang mencatat kes paling tinggi minggu ini adalah Latvia dengan 846 kes per 100,000 penduduk diikuti Georgia (771) dan Lithuania (686).