Sunday, December 5, 2021

UK catat kes harian lebih 50,000, tertinggi sejak Julai

Namun pentadbiran Boris Johnson tetap menolak gesaan supaya negara itu kembali menguatkuasakan sekatan pergerakan.

Other News

Kes harian Covid-19 di United Kingdom (UK) pada Khamis meningkat lebih 50,000, peningkatan mendadak kali pertama sejak Julai lalu.

Namun kerajaan negara itu sekali lagi menolak gesaan supaya ia kembali menguatkuasakan sekatan pergerakan.

Berdasarkan statistik terkini, UK merekodkan 52,009 kes baru, tertinggi sejak 17 Julai.

Setakat ini, kadar vaksinasi lengkap di UK berada pada kadar 79% populasi berusia 12 tahun ke atas sementara jumlah kemasukan ke hospital masih dianggap rendah.

Keadaan itu mendorong mereka yang tidak divaksinasi untuk mendapatkan vaksin selain mendesak individu berusia lebih 50 tahun dan golongan rentan secara klinikal untuk menerima tawaran vaksin penggalak ketiga selain mendapatkan suntikan vaksin selesema.

Setiausaha Kesihatan, Sajid Javid pada Rabu menegaskan masih belum sampai waktunya untuk negara itu menguatkuasakan semula langkah seperti pemakaian pelitup muka dalam premis tertutup.

“Kes meningkat dan ia boleh mencapai 100,000 sehari. Pandemik ini belum berakhir.

“Kami meneliti secara dekat data yang ada, tetapi kami tidak akan melaksanakan pelan B pada saat ini,” tegasnya.

Perdana Menteri Boris Johnson turut menolak saranan pegawai kesihatan untuk menghentikan penularan dalam kalangan kontak rapat berikutan kebimbangan peningkatan angka jangkitan akan membuatkan hospital sesak menjelang musim sejuk yang bakal menyaksikan kes jangkitan pernafasan lain.

“Kami memantau kes dengan teliti setiap hari. Jumlah jangkitan adalah tinggi tetapi kami berada dalam parameter yang diramalkan.

“Kami kekal dengan pelaksanaan pelan asal,” katanya.

Menurut menteri kesihatannya, Edward Agar, kanak-kanak bersekolah merupakan punca angka kes yang meningkat di UK.

Menurut Agensi Keselamatan Kesihatan UK, sebanyak 1,366.8 kes bagi setiap 100,000 orang berusia 10 hingga 19 tahun dicatatkan seminggu hingga 17 Oktober lalu – meningkat dari 1,134.9 dalam tujuh hari sebelumnya.

Kadar jangkitan kanak-kanak berusia lima hingga sembilan tahun adalah 719.2, meningkat dari 585 kes. Kedua-dua kadar itu adalah angka tertinggi sejak pertama kali data dikumpulkan pada Oktober tahun lalu.

Pentadbiran Johnson berdepan kritikan dan kecaman kerana dilihat memberikan reaksi lembab sejak pandemik melanda negara itu awal tahun lalu.

Angka kematian di Britain kini mencecah 139,146, kedua tertinggi di Eropah selepas Rusia.

Jumlah kes di negara ini adalah yang kedua selepas Amerika Syarikat, menurut Universiti Johns Hopkins.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles