- Iklan -
Berita

Tiada kerjasama dengan Bersatu diputuskan sejak perhimpunan agung, kata Zahid

Menurut Zahid, tidak timbul isu lewat membuat keputusan kerana isu kerjasama dengan Bersatu sudah lama diputuskan Umno.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi.
Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi.

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi berkata tidak timbul isu kelewatan membuat keputusan berhubung kerjasama parti itu dengan Bersatu memandangkan perkara tersebut sudah lama diputuskan sejak Perhimpunan Agung Umno lepas.

“Untuk Bersatu kita telah buat keputusan. Kita tidak akan pernah bekerjasama dengan mereka.. noktah. Tak lambat dah.. dulu dah..masa Perhimpunan Agung Umno kita dah buat keputusan kita.

“Itulah keputusan kita dan kita muktamadkan tidak akan bekerjasama dengan Bersatu,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan perjumpaan dengan Umno Hang Tuah Jaya malam tadi.

Hadir sama Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri Ab Rauf Yusoh.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) yang juga Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin sebelum ini dilaporkan berkata pihaknya tidak boleh menunggu terlalu lama “rakan di sebelah sana” untuk membuat keputusan sama ada sedia bekerjasama atau tidak, semata-mata bagi mengelak pertembungan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Sementara itu Zahid yakin BN mampu menang pada PRN Melaka berdasarkan “permasalahan” di “pihak sebelah sana” ketika ini.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh mengundi PRN Melaka pada 20 November manakala penamaan calon pada 8 November dan undi awal 16 November.