- Iklan -
Berita

Pilihan raya kecil mungkin diadakan di Sabah selepas Adun Sindumin letak jawatan

Yusof Yacob baru-baru ini keluar Warisan dan mengisytiharkan dirinya bebas.

Nur Shazreena Ali
1 minit bacaan
Kongsi
Adun Sindumin Yusof Yacob. Gambar: Bernama
Adun Sindumin Yusof Yacob. Gambar: Bernama

Bekas ketua penerangan Warisan Yusof Yacob yang baru-baru ini keluar daripada parti itu dan menyatakan dirinya bebas telah meletakkan jawatannya sebagai ahli Dewan Undangan Negeri (Adun), MalaysiaNow difahamkan.

Yusof, yang meninggalkan Warisan awal bulan ini, meletakkan jawatan sebagai Adun Sindumin hari ini, kata sumber yang mengetahui perkara tersebut.

“Ya, YB Sindumin telah letak jawatan,” kata sumber itu kepada MalaysiaNow.

“Kerusi (DUN) kosong mesti diisi sebelum penggal berakhir.”

Sumber tersebut turut berkata speaker DUN Sabah dijangka akan membuat pengumuman mengenai perkara itu dalam masa terdekat, “mungkin pada Isnin”.

Yusof berkata dirinya keluar Warisan kerana ingin membantu penduduk di kawasannya dan daerah Sipitang bagi menyelesaikan masalah yang dihadapi mereka.

Beliau memenangi kerusi DUN Sindumin pada Pilihan Raya Umum ke-14 dalam pertandingan tiga penjuru dengan majoriti 760 undi.

Beliau berjaya mengekalkan kerusi itu pada PRN Sabah tahun lalu, memenangi pertarungan enam penjuru dengan majoriti 424 undi.

Spekulasi peletakan jawatannya sebagai Adun telah beredar di media sosial sejak beberapa hari lalu namun beliau menafikan pernah menandatangani surat peletakan jawatan.