- Iklan -
Berita

Pemimpin tertinggi MCA, DAP bakal berdebat secara langsung 2 November?

Perdebatan berhubung dasar kabotaj negara hampir menjadi realiti setelah tiga minggu cabaran debat dikeluarkan Ka Siong.

Ahmad Mustakim Zulkifli
2 minit bacaan
Kongsi
Presiden MCA Wee Ka Siong dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.
Presiden MCA Wee Ka Siong dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng bersetuju untuk berdebat dengan Menteri Pengangkutan, Wee Ka Siong pada 2 November ini berhubung polisi kabotaj negara setelah hampir tiga minggu cabaran debat diajukan presiden MCA itu semasa sidang Parlimen pada 30 September lalu.

Dalam satu kenyataan ringkas kepada MalaysiaNow, ahli Parlimen Bagan itu berkata beliau bersetuju dengan cabaran debat itu.

Ahli Parlimen Kulai, Teo Nie Ching memaklumkan Lim berhasrat agar debat itu disiarkan secara langsung di saluran televisyen dan platform digital.

“TV3 memberitahu saya bahawa mereka bersedia untuk menganjurkan debat antara LGE dan WKS pada 2 November jam 9 malam, tetapi debat tersebut hanya akan disiarkan di platform digital dan tidak akan disiarkan secara langsung di TV,” katanya di laman Facebook beliau.

Justeru, Teo berkata saluran Astro Awani bersetuju untuk menyiarkan sesi debat itu di saluran televisyen dan platform digital milik syarikat itu.

Terdahulu, perang mulut antara dua pemimpin itu terjadi berhubung penganjuran debat tersebut.

Pada 30 September, Wee dan Lim bertikam lidah semasa sesi pertanyaan lisan berhubung polisi kabotaj kerajaan yang didakwa pemimpin DAP itu mengakibatkan negara kerugian projek pemasangan kabel dasar laut.

Menurut Weepelaksanaan dasar kabotaj bukan faktor tunggal Malaysia tidak terlibat dalam projek Apricot.

Ini kerana faktor lain seperti tawaran dan syarat yang ditetapkan syarikat teknologi turut diambil kira.

Sebelum ini, pemimpin kedua-dua parti itu pernah berdebat secara umum pada Februari 2012 di Kuala Lumpur.

MCA diwakili bekas presidennya, Chua Soi Lek manakala DAP diwakili Lim.

Debat dalam bahasa Mandarin itu berkisarkan masa depan politik kaum Cina di Malaysia.

Kedua-dua tokoh itu berdebat kali kedua pada Julai tahun yang sama.

Kali ini, Wee menetapkan syarat bahawa debat perlu dijalankan dalam bahasa kebangsaan.

MalaysiaNow sudah menghubungi Wee untuk mendapatkan pengesahan mengenai persetujuan beliau untuk berdebat di saluran Astro Awani.