- Iklan -
Berita

Menjelang pembukaan sekolah, guru diberi amaran ditamatkan perkhidmatan jika enggan divaksin

Radzi Jidin berkata pekeliling JPA yang menyatakan tindakan tatatertib boleh dikenakan kepada penjawat awam enggan divaksin turut terpakai kepada guru sekolah.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Guru sekolah perlu mendapatkan vaksinasi Covid-19 menjelang pembukaan sekolah 1 November depan.
Guru sekolah perlu mendapatkan vaksinasi Covid-19 menjelang pembukaan sekolah 1 November depan.

Menteri Pendidikan Radzi Jidin hari ini menegaskan pekeliling Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) yang menyatakan penjawat awam boleh dikenakan tindakan tatatertib atau ditamatkan perkhidmatan kerana enggan divaksin turut terpakai kepada guru sekolah.

Menurut Radzi, pekeliling yang akan berkuat kuasa pada 1 November terpakai kepada mana-mana pegawai perkhidmatan awam yang enggan divaksin tanpa alasan perubatan.

“Pekeliling dari JPA, terpakai kepada semua pegawai awam termasuk guru yg tidak mahu vaksin tanpa alasan.

“Bermula 1 November 2021, mana-mana pegawai perkhidmatan awam yang enggan vaksin (tanpa alasan perubatan) boleh ditamatkan perkhidmatan,” katanya dalam sebuah ciapan Twitter dengan menyertakan pautan terhadap pekeliling tersebut.

Pada 18 Oktober, JPA dalam pekelilingnya berkata pegawai perkhidmatan awam Persekutuan yang gagal melengkapkan imunisasi Covid-19 boleh dikenakan tindakan tatatertib atau ditamatkan perkhidmatan apabila dasar baru berhubung imunisasi melibatkan penjawat awam dilaksanakan mulai 1 Novemer ini.

Perkara itu dinyatakan dalam Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 4 Tahun 2021 mengenai Dasar Pelaksanaan Imunisasi Covid-19 Bagi Pegawai Perkhidmatan Awam Persekutuan.

Pekeliling yang ditandatangan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Mohd Khairul Adib Abd Rahman itu turut menyebut pegawai boleh diarah untuk mendapatkan dos lengkap mulai tarikh tersebut.

“Pada atau selepas 1 November 2021, mana-mana pegawai yang gagal mematuhi arahan ketua jabatan boleh menyebabkan pegawai dikenakan tindakan tatatertib atau ditamatkan perkhidmatan.”

Sementara itu, sekiranya pegawai tidak dapat melengkapkan dos imunisasi Covid-19 atas faktor kesihatan, mereka boleh diarahkan untuk membuat pemeriksaan kesihatan dengan pengamal perubatan berdaftar.

Mereka juga boleh diarahkan oleh ketua jabatan untuk membuat ujian pengesanan Covid-19 jika telah disahkan tidak layak menerima vaksinasi itu atas sebab kesihatan.

Pekeliling itu menyatakan ketua jabatan juga boleh pada bila-bila masa mengarahkan mana-mana pegawai yang belum mendapatkan dos lengkap untuk membuat pemeriksaan kesihatan bagi menentukan status kesihatan mereka.

Ketua jabatan juga boleh mempertimbangkan apa-apa kaedah sesuai untuk memastikan pelaksanaan dasar itu dalam menguruskan pegawai yang tidak mendapatkan vaksinasi lengkap termasuk mengarahkan mereka menjalani ujian pengesanan Covid-19 dengan kos ditanggung pegawai terbabit.

Bagaimanapun, kos ujian pengesanan untuk mereka yang tidak layak menerima imunisasi atas faktor kesihatan akan ditanggung kerajaan.