- Iklan -
Berita

PN sedia bertembung tiga penjuru dalam PRN Melaka

Muhyiddin berkata PN tidak boleh berlengah menunggu keputusan parti lain untuk bekerjasama dengannya dalam berdepan PRN Melaka.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Pengerusi Perikatan Nasional Muhyiddin Yassin mempengerusikan mesyuarat. Gambar: Bernama
Pengerusi Perikatan Nasional Muhyiddin Yassin mempengerusikan mesyuarat. Gambar: Bernama

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin hari ini berkata gabungan itu bersedia menghadapi pertembungan tiga penjuru pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, mengatakan gabungan itu tidak boleh berlengah menunggu keputusan daripada parti lain untuk bekerjasama.

Dalam sidang media hari ini, Muhyiddin berkata isu berbangkit ketika ini adalah apakah parti lain sudah bersedia atau tidak sambil menegaskan PN sudah bersedia lebih awal.

“Masa begitu singkat, dah diumumkan tarikh penamaan calon dan tarikh pengundian, sebagai sebuah parti gabungan PN bagi saya ini penting, tak boleh lengah-lengah.

“Kalau tak ada isyarat yang jelas, kita akan pursue ikut keputusan yang sudah dibuat PN. Bersatu, PAS dan Gerakan juga bersetuju kalau perlu berhadapan tiga penjurum kita bersedia hadapi. Fasal kami pejuang,” katanya.

Pengumuman Muhyiddin ini susulan daripada pendirian yang tidak jelas daripada Barisan Nasional (BN) khususnya Umno berhubung strategi berdepan PRN Melaka.

Semalam MalaysiaNow melaporkan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi berdepan kesukaran meyakinkan pemimpin parti itu di Melaka untuk bergerak bersendirian dalam PRN).

Sekurang-kurangnya 70% ahli jawatankuasa Umno negeri itu membantah pengumuman Zahid yang mahu bertanding tanpa kerjasama dengan PAS dan PN.

Bagaimanapun, awal hari ini, timbalan presidennya, Mohamad Hasan berkata Umno belum mengambil keputusan mengenai bergerak sendirian atau bekerjasama dengan parti lain.

Mohamad berkata Umno akan menunggu keputusan mesyuarat khas Majlis Tertinggi berhubung keputusan tersebut.

Dewan Undangan Negeri Melaka terbubar pada 4 Oktober selepas Ketua Menteri Sulaiman Md Ali hilang kepercayaan majoriti apabila empat ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) menarik sokongan terhadapnya.

Empat Adun itu diketuai oleh bekas ketua menteri Melaka, Idris Haron (Sungai Udang).

Tiga lagi ialah Nor Azman Hassan (Pantai Kundor), Norhizam Hassan Baktee (Pengkalan Batu) dan Noor Effandi Ahmad (Telok Mas).