- Iklan -
Berita

Pernyataan bercanggah kes solar hibrid, hakim benar pendakwaan cabar kredibiliti Rosmah

Permohonan pendakwaan untuk mencabar kredibiliti Rosmah Mansor dibenarkan mahkamah berikutan percanggahan keterangannya di mahkamah dan SPRM dalam kes projek solar hibrid.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Rosmah Mansor di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. Gambar: Bernama
Rosmah Mansor di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. Gambar: Bernama

Mahkamah Tinggi hari ini membenarkan permohonan pihak pendakwaan untuk mencabar kredibiliti Rosmah Mansor berikutan percanggahan dalam keterangannya dalam perbicaraan kes projek solar hibrid yang sedang berjalan dan pernyataan yang diberikan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam siasatan kes pengubahan wang haram.

Hakim Mohamed Zaini Mazlan membenarkan pernyataan Rosmah yang direkodkan di bawah Seksyen 32 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFAPUAA) digunakan untuk menyoal Rosmah mengenai keterangannya yang tidak konsisten dalam perbicaraan kes rasuah yang sedang dijalankan.

“Saya berpendapat bahawa pernyataan itu boleh diterima masuk berdasarkan Seksyen 40 AMLATFAPUAA dan dengan itu pihak pendakwaan boleh meneruskan usahanya untuk mencabar kredibiliti tertuduh.

“Saya bagaimanapun percaya bahawa peruntukan untuk mencabar kredibiliti dijalankan di bawah Seksyen 145 dan 155 Akta Keterangan 1950, dan bukannya Seksyen 72 Akta AMLA, kerana ia berkaitan dengan perbicaraan suatu kesalahan di bawah akta, yang tidak dijalankan di sini,” kata hakim itu.

Hakim Mohamed Zaini juga membenarkan permohonan pihak pendakwaan untuk menyoal balas karektor isteri bekas perdana menteri itu atas pertuduhan yang dihadapinya di bawah AMLA berhubung penyata bank yang didakwa dibuat oleh Roslan Sohari ke dalam akaunnya.

“Saya berpuas hati pihak pendakwaan telah memenuhi syarat-syarat di bawah Seksyen 54(2)(b) Akta Keterangan 1950. Bagaimanapun, saya tidak akan membenarkan sebarang persoalan ditanya mengenai fakta berkaitan kes Amla yang dihadapi tertuduh, kecuali dia telah didakwa di bawah akta itu.

Rosmah menghadapi 12 pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah kira-kira RM7 juta serta lima pertuduhan gagal menyerahkan penyata pendapatan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Kes itu juga didengar di hadapan hakim Mohamed Zaini yang dijadual bermula selepas perbicaraan kes rasuah selesai.

Terdahulu, ketua pasukan pendakwaan Gopal Sri Ram memohon kepada mahkamah untuk mencabar kredibiliti Rosmah dan menyoal balas beliau berhubung karektornya.