- Iklan -
Berita

Perniagaan di Singapura dijangka berdepan kemerosotan ketika wabak melonjak

Persatuan mewakili peruncit di seluruh Singapura yang berdepan impak Covid-19 mengkritik 'Fasa Penstabilan' yang diumumkan kerajaan.

Our Regional Correspondent
2 minit bacaan
Kongsi
Seorang wanita menyapu bahagian luar premis perniagaan yang kini ditutup ekoran lanjutan sekatan aktiviti sosial bagi membendung wabak Covid-19 yang melonjak secara  mendadak di Singapura. Gambar: Reuters
Seorang wanita menyapu bahagian luar premis perniagaan yang kini ditutup ekoran lanjutan sekatan aktiviti sosial bagi membendung wabak Covid-19 yang melonjak secara mendadak di Singapura. Gambar: Reuters

Kumpulan peruncit yang mewakili 3,823 kedai runcit di Singapura memberi amaran komuniti perniagaan kini berada dalam keadaan “putus asa dan merasa diabaikan” ketika pihak berkuasa memperketatkan sekatan Covid-19 bagi menangani gelombang virus yang menyaksikan peningkatan mendadak kes jangkitan dan kematian harian.

Singapore Tenants United for Fairness, yang ditubuhkan pada awal 2020 ketika wabak mula mengancam perniagaan dan peruncit di republik itu berkata sekatan sosial yang dilanjutkan bagi tempoh sebulan – yang digelar kerajaan sebagai “Fasa Penstabilan” – bakal “menyebabkan perniagaan ramai ahli kami terpaksa ditutup”.

“Setakat tahun ini saja, kami berdepan empat gelombang sekatan yang menyebabkan keparahan impak negatifnya semakin buruk terhadap trafik transaksi dan perniagaan,” kata kumpulan itu dalam satu kenyataan.

Kumpulan itu turut berkata beberapa pakej bantuan yang diumumkan kerajaan masih belum mencukupi, mendedahkan pemilik perniagaan terpaksa membayar gaji pekerja dan sewa kedai daripada simpanan mereka sendiri.

“Selain impak terhadap kewangan, kos kesihatan mental dan fizikal terhadap pemilik perniagaan, kakitangan, keluarga dan ekosistem perniagaan yang didukung oleh kami turut sukar diukur dan kurang didedah/dilaporkan namun ia adalah satu perkara yang nyata sama seperti akibat langsung Covid-19 itu sendiri. ”

Sebelum ini, usaha dan langkah Singapura dalam menangani wabak pernah dipuji masyarakat antarabangsa yang menyaksikan hampir tidak ada kes jangkitan harian.

Namun kini negara itu sedang berhempas pulas dalam usaha menangani lonjakan mendadak kes wabak Covid-19 sejurus pihak berkuasa mengumumkan pembukaan semula sektor perniagaan dan aktiviti harian bulan lalu.

Semalam, negara itu mencatat 18 kematian akibat Covid-19 dengan 3,862 jangkitan baru direkodkan, menjadikan jumlah keseluruhan korban menjadi 264 orang selain hampir 160,000 kes keseluruhan jangkitan dicatat di negara yang memiliki populasi penduduk seramai 5.7 juta orang.

Kumpulan itu turut merayu supaya kerajaan memberikan subsidi sewa bagi satu bulan lagi dan melanjutkan moratorium pinjaman bank bagi tempoh setahun, mengatakan pemilik premis dan bank telah mengaut keuntungan sejak beberapa bulan lalu.

“Kami fikir, tidak masuk akal pemilik premis dan bank tidak bersedia memberikan bantuan ketika kami sangat-sangat memerlukannya,” tambahnya.

Kumpulan itu juga turut mengkritik langkah kerajaan yang membenarkan skim perjalanan yang selamat di bawah jalur perjalanan yang divaksinasi (VTL), mengatakan ia hanya akan menyebabkan aliran keluar wang yang sepatutnya boleh dibelanjakan di dalam negara.

Ia juga berkata perniagaan juga dijangka bakal berdepan impak lebih besar sekiranya kerajaan meneruskan kenaikan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) kepada 9%.