- Iklan -
Berita

Najib, anak dapat tangguh bayar tunggakan cukai lebih RM1.7 bilion

Hakim Mahkamah Rayuan membenarkan penangguhan tersebut selepas mendapati terdapat keadaan istimewa untuk penangguhan tersebut.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Bekas perdana menteri Najib Razak di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 29 September lalu. Gambar: Bernama
Bekas perdana menteri Najib Razak di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 29 September lalu. Gambar: Bernama

Bekas perdana menteri, Najib Razak dan anaknya, Mohd Nazifuddin mendapat penangguhan membayar tunggakan cukai pendapatan masing-masing berjumlah RM1.69 bilion dan RM37.6 juta kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) selepas hakim Mahkamah Rayuan membenarkan penangguhan tersebut selepas mendapati terdapat keadaan istimewa, lapor Utusan Malaysia.

Panel tiga hakim diketuai Azizah Nawawi dan bersidang bersama-sama Che Mohd Ruzima Ghazali serta Gunalan Muniandy sebulat suara membenarkan permohonan Najib dan Nazifuddin bagi membolehkan mereka merayu terhadap keputusan mahkamah terdahulu yang menolak rayuan berhubung penghakiman terus yang diperoleh kerajaan Malaysia melalui LHDN bagi mendapatkan semula tunggakan cukai mereka berdua.

Permohonan bagi mendapatkan kebenaran merayu di Mahkamah Persekutuan ditetapkan untuk pengurusan pada minggu hadapan.

Pada 25 Jun 2019, kerajaan melalui LHDN memfailkan tuntutan terhadap Najib bernilai lebih 1.69 bilion Ringgit, termasuk kadar faedah 5% setahun bermula daripada tarikh penghakiman serta kos dan relif lain.

Ekoran itu, pada 22 Julai tahun lalu, Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa Najib perlu membayar tunggakan cukai cukai tersebut kepada kerajaan Malaysia melalui sebuah penghakiman ringkas yang dimohon LHDN.

Pada 14 Jun, hakim Ahmad Bache menolak permohonan Najib untuk pengangguhan pelaksanaan tuntutan cukai tersebut mengekalkan hukuman Mahkamah Tinggi selain turut mengenakan kos mahkamah sebanyak RM15 ribu kepada defendan.

Pada 31 Mei lalu, Najib memohon untuk membatalkan notis muflis yang dikeluarkan LHDN pada 4 Februari, mendakwa ia berniat jahat, menindas dan salah guna proses mahkamah.

April lalu, Najib menyifatkan notis muflis Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) yang diserahkan kepadanya bagai “menabur garam ke luka ketidakadilan yang masih berdarah”, dan beliau menjadi “mangsa ketidakadilan”.

“Biarpun sebagai perdana menteri, saya sentiasa membayar cukai pendapatan tanpa gagal tetapi cukai zalim berjumlah RM1.74 bilion (naik lagi dengan penalti RM46 juta sejak tahun lepas) ini adalah pentaksiran tambahan dan penalti yang tidak munasabah,” katanya.