- Iklan -
Berita

Naib presiden PBB beri isyarat PRN Sarawak bakal diadakan

Abdul Karim Rahman Hamzah berkata pilihan raya negeri mungkin akan diadakan pada akhir November.

Nur Shazreena Ali
1 minit bacaan
Kongsi
Naib Presiden PBB Abdul Karim Rahman Hamzah. Gambar: Bernama
Naib Presiden PBB Abdul Karim Rahman Hamzah. Gambar: Bernama

Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Sarawak, Abdul Karim Rahman Hamzah hari ini berkata pilihan raya negeri (PRN) yang tertunda mungkin akan diadakan pada akhir bulan depan, sejurus selepas Melaka pada 20 November.

“Saya tidak hairan kalau Sarawak adakan PRN pada bulan 11 juga tapi kita tunggu esok lusa. Sehari dua (lagi),” katanya pada sidang media di Kuching.

“Saya rasa apa yang dirasai media juga turut dirasakan oleh kami. Kami juga dapat merasakan bahangnya.”

Karim juga turut mendesak supaya orang ramai mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dengan ketat selepas ia ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

“Kita mesti mematuhi apa sahaja SOP yang ditetapkan oleh SPR,” katanya.

“Kami tidak mahu mengulangi apa yang berlaku di Sabah tahun lalu. Ia adalah pengalaman pahit.”

Spekulasi bahawa DUN Sarawak akan dibubarkan minggu ini semakin hangat diperkatakan, ia bakal membuka jalan untuk PRN Sarawak diadakan sejurus selepas Melaka.

Bagaimanapun, untuk pelaksanaannya, Sarawak perlu membatalkan darurat yang masih berkuat kuasa selepas ia diisytiharkan bagi mengelakkan PRN diadakan ketika wabak sedang meningkatkan.

Mengikut jadual sebelum ini, perintah darurat di negeri itu akan berakhir pada Februari tahun depan.

Tidak seperti negeri lain, kerusi DUN Sarawak dipertandingkan secara berasingan daripada pilihan raya umum (PRU).

Mandat lima tahun kerajaan Sarawak berakhir pada 1 Ogos tahun ini, dan PRN sepatutnya diadakan dalam tempoh 60 hari selepas DUN dibubarkan.

Namun, status darurat Covid-19 di seluruh negara yang diisytiharkan pada bulan Januari menjadikan pilihan raya tidak dapat diadakan di negeri itu.