Monday, November 29, 2021

Lagi syarikat pembuat sarung tangan Malaysia dikenakan sekatan import AS

Larangan import produk Supermax diumumkan selepas siasatan mendapati wujud unsur buruh paksa dalam operasi pembuatan di kilang syarikat tersebut.

Other News

Amerika Syarikat (AS) menyekat produk import daripada pembuat sarung tangan getah Supermax atas tuduhan pelanggaran hak pekerja, menjadikan ia sebagai syarikat terbaru dari Malaysia berdepan larangan tersebut.

Malaysia adalah tempat jutaan pekerja asing dalam sektor perkilangan dan pertanian, namun pengkritik berkata pekerja asing sering dianiaya pihak syarikat.

Badan Kastam dan Perlindungan Sempadan AS (CBP) mengumumkan larangan kemasukan sarung tangan Supermax pada Rabu selepas siasatan mendapati wujud unsur buruh paksa dalam operasi pembuatan syarikat itu.

“CBP mempunyai banyak bukti bagi menunjukkan Supermax… dan anak syarikatnya menghasilkan sarung tangan dengan melanggar undang-undang perdagangan AS,” kata pegawai agensi itu AnnMarie R Highsmith.

“Selagi Supermax dan anak syarikatnya tidak dapat membuktikan proses pembuatannya bebas dari unsur buruh paksa, barangan mereka tidak akan diterima masuk di sini.”

Bagaimanapun, agensi itu tidak memberikan perincian mengenai tuduhan buruh paksa yang berlaku dalam operasi syarikat tersebut, yang mengeksport barangannya ke lebih dari 160 negara dan menghasilkan sekitar 24 bilion sarung tangan setahun.

Aktivis hak pekerja asing Andy Hall, yang menjadi orang bertanggungjawab dalam menyiasat Supermax, berkata aduan pekerja itu termasuk disekat daripada keluar daripada kompaun kilang sehinggalah keadaan tempat tinggal yang tidak selesa selain pemotongan gaji yang tidak mengikut undang-undang.

Hall berkata beliau berharap “tindakan penguatkuasaan perdagangan terhadap syarikat tersebut akan menyebabkan perubahan segera dilakukan berhubung keadaan hidup tidak selesa yang dihadapi pekerja syarikat itu di Malaysia”.

Supermax bagaimanapun tidak memberikan sebarang ulasan berhubung perkara tersebut ketika dihubungi.

Saham syarikat itu turut menurun lebih dari 10% dalam perdagangan bursa saham Kuala Lumpur.

Pembuat sarung tangan Malaysia, yang menyaksikan peningkatan pengeluaran sepanjang pandemik Covid-19, biasanya menggunakan khidmat pekerja dari Asia Selatan.

Awal tahun ini, AS melarang import daripada pengeluar sarung tangan getah terkemuka di dunia, Top Glove berikutan dakwaan buruh paksa dalam operasi syarikat tersebut, namun sekatan tersebut dibatalkan pada September lalu.

Dua syarikat minyak sawit, Sime Darby Plantation dan FGV Holdings juga turut dikenakan sekatan import AS pada 2020 akibat kebimbangan yang sama.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles