- Iklan -
Berita

Bantuan kewangan masih diperlukan golongan terjejas pandemik

Masih ramai yang terus bergelut dengan kewangan ketika negara sedang menuju ke fasa endemik Covid-19.

Azzman Abdul Jamal
2 minit bacaan
Kongsi
Orang ramai kini mulai mengunjungi pusat beli-belah dan merentas sempadan untuk bercuti atau pulang ke kampung halaman ketika Malaysia beralih ke fasa endemik Covid-19. Namun masih ramai yang bergelut dengan kewangan akibat wabak.
Orang ramai kini mulai mengunjungi pusat beli-belah dan merentas sempadan untuk bercuti atau pulang ke kampung halaman ketika Malaysia beralih ke fasa endemik Covid-19. Namun masih ramai yang bergelut dengan kewangan akibat wabak.

Ketika ramai orang mengambil kesempatan dengan kelonggaran yang diberikan kerajaan dalam sektor sosial dan ekonomi bagi mereka yang sudah menerima vaksin lengkap, tetapi Muhammad Syazwan Zainal Abidin tidak mengambil kesempatan itu.

Orang ramai yang kini mulai memenuhi pusat beli-belah dan merentas sempadan untuk bercuti atau pulang ke kampung halaman ketika Malaysia beralih ke fasa endemik Covid-19, namun malangnya Syazwan masih bergelut dengan impak wabak itu terhadap kewangannya.

Pemuda berusia 31 tahun itu berkata ini kerana duit simpanannya kini hanya tinggal kurang daripada RM1,000.

Syazwan berkata, pengurangan duit simpanannya berlaku selepas dia berhenti kerja di sebuah kedai elektrik di ibu negara akibat pemotongan gaji hampir separuh daripada pendapatannya.

“Dulu gaji saya bekerja di kedai itu ialah lebih RM2,000 tetapi berlaku pemotongan gaji kerana tiada jualan terutama selepas pelaksanaan perintah kawalan pergerakan,” katanya kepada MalaysiaNow.

“Disebabkan sumber pendapatan sudah tiada, saya terpaksa menggunakan sebahagian besar duit simpanan dan kini hanya tinggal kurang RM1,000.”

Menurut Syazwan, dia terpaksa berpindah rumah dan menyewa bersama rakannya kerana tidak lagi mampu menyewa seorang diri.

“Sekarang keadaan semakin baik apabila saya bekerja secara bebas sebagai jurumekap selain memasak dan menghantar makanan.

“Pendapatan yang diraih cukup untuk bertahan tetapi ia tidak setinggi dahulu. Saya kini juga mencari pekerjaan tetap,” katanya.

Syazwan merupakan salah satu contoh pihak yang terjejas akibat pandemik dan masih memerlukan bantuan untuk bangkit semula.

Kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) kesihatan dijangka akan memulihkan keadaan dengan pembukaan lebih banyak sektor ekonomi.

Namun begitu, dalam tempoh hampir dua tahun pandemik Covid-19, sudah tentu memberi kesan yang amat mendalam kepada masyarakat apabila ramai kehilangan kerja dan banyak perniagaan terpaksa ditutup.

Menurut Pengarah Eksekutif Bank-Bank Dalam Malaysia (ABM), Kalpana Sambasivamurthy, lebih 2.6 juta peminjam dalam kalangan individu serta 86,000 Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) menerima moratorium antara 1 Jun hingga 10 September  lalu.

Beliau berkata jumlah itu adalah berdasarkan statistik yang dikeluarkan oleh Bank Negara Malaysia baru-baru ini.

Pada 28 Jun, perdana menteri pada ketika itu, Muhyiddin Yassin, mengumumkan moratorium bayaran balik pinjaman bank selama enam bulan diberi kepada semua golongan B40, M40 dan T20.

Permohonan moratorium itu juga tidak memerlukan dokumentasi dan ia diberikan secara automatik dan ia akan tamat pada akhir tahun ini.

Ditanya mengenai usaha berterusan syarikat perbankan untuk membantu golongan terjejas akibat Covid-19, Kalpana berkata, pelaksanaan skim Program Pengurusan dan Ketahanan Kewangan (Urus) dilihat sebagai penyelesaian terbaik.

“Ketika ekonomi kini berada di landasan pemulihan, syarikat perbankan komited untuk terus menyediakan bantuan kepada peminjam.

“Kami yakin skim Urus merupakan kaedah terbaik untuk membantu mereka yang memerlukan secara komprehensif dan holistik serta memastikan ketahanan berterusan sistem kewangan,” katanya kepada MalaysiaNow.

Pada 14 Oktober lalu, ABM menerusi kenyataan bersama Persatuan Institusi Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (Aibim) dan Persatuan Institusi Kewangan Pembangunan Malaysia (Adfim), mengumumkan skim Urus yang disasar membantu golongan terjejas akibat Covid-19.

Menerusi skim ini, industri perbankan akan menyediakan sejumlah RM1 bilion untuk membiayai kos pengurangan dalam kos faedah/keuntungan termasuk faedah keuntungan untuk peminjam B40.

Kemudahan disediakan termasuk pengecualian faedah/keuntungan untuk tempoh tiga bulan dan pengurangan bayaran ansuran untuk tempoh hingga 24 bulan termasuk pengurangan kadar faedah.