- Iklan -
Berita

Kerjasama PN, BN di peringkat persekutuan boleh dipraktik pada PRN Melaka, kata Hamzah

Setiausaha agung Bersatu berkata PN akan mengumumkan kerjasama bersama BN bagi menghadapi PRN Melaka dalam masa terdekat.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Setiausaha Agung Bersatu Hamzah Zainudin. Gambar: Bernama
Setiausaha Agung Bersatu Hamzah Zainudin. Gambar: Bernama

Kerjasama politik antara Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) di peringkat persekutuan boleh dilakukan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, kata Setiausaha Agung PN Hamzah Zainudin.

Beliau berkata oleh itu tidak timbul isu perpecahan antara PN dan BN di Melaka kerana kerjasama berkenaan sudah dibuktikan di peringkat pusat dan sudah tentu ia boleh dilakukan pada PRN Melaka pada 20 November ini.

“Maknanya di seluruh negara, kita boleh kerjasama. Tak timbul masalah perpecahan. Malah masa kini belum ada lagi mana-mana pemimpin PN yang buat pengumuman untuk ada perpecahan di kalangan semua pemimpin di negara kita…tak ada,” katanya ketika  sidang akhbar pada Majlis Pelancaran Gempur Perikatan Nasional Melaka semalam.

Hadir sama Naib Presiden PAS Ahmad Samsuri Mokhtar, Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan, Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) Dominic Lau Hoe Chai dan Pengerusi PN Melaka Mohd Rafiq Naizamohideen.

Mengulas lanjut, Hamzah berkata PN akan mengumumkan kerjasama bersama BN bagi menghadapi PRN Melaka dalam masa terdekat.

“Dalam masa terdekat, kita akan umumkan bagaimana kerjasama yang akan diadakan,” katanya.

Sementara itu Samsuri berkata PAS optimis kerjasama antara PN dan MN yang terdiri daripada PAS dan Umno dapat dicapai dan parti itu akan terus memainkan peranan penting dalam memperkukuh dan memperkasa kerjasama bersama parti komponen lain dalam PN dan MN sebagai persiapan berdepan dengan PRN Melaka.

Samsuri berkata  setiap parti komponen di dalam PN dan MN  mempunyai peranan masing-masing dalam menentukan hala tuju perjalanan politik negara.

“PAS optimis kerjasama antara PN dan MN dapat dicapai… sebab itu tidak timbul isu PAS meminggirkan mana-mana parti dari PN atau MN,” katanya.

Beliau juga berkata PAS di pelbagai peringkat sudah mengadakan beberapa siri pertemuan secara rasmi dan tidak rasmi bagi meneroka jalan ke arah kesefahaman yang lebih baik bersama kepimpinan Bersatu dan Umno termasuk dari segi pembahagian kerusi.

Bagaimanapun beliau berkata jumlah kerusi yang disasarkan PAS tidak dapat didedahkan kerana ia sebahagian daripada strategi parti itu bagi menghadapi PRN Melaka.