- Iklan -
Berita

Kementerian tambah baik SOP kesihatan ketika semakin banyak sekolah dibuka

Antaranya, ujian kendiri kepada murid-murid berasrama penuh dan asrama harian, selain memastikan pengudaraan yang baik.

Ahmad Mustakim Zulkifli
2 minit bacaan
Kongsi
Murid-murid yang akan pulang sekolah asrama penuh perlu melalui tiga kali ujian kendiri Covid-19, manakala murid asrama harian akan melalui ujian itu sebanyak satu kali ketika pendaftaran masuk ke sekolah masing-masing.
Murid-murid yang akan pulang sekolah asrama penuh perlu melalui tiga kali ujian kendiri Covid-19, manakala murid asrama harian akan melalui ujian itu sebanyak satu kali ketika pendaftaran masuk ke sekolah masing-masing.

Murid-murid yang akan pulang sekolah asrama penuh perlu melalui tiga kali ujian kendiri Covid-19, manakala murid asrama harian akan melalui ujian itu sebanyak satu kali ketika pendaftaran masuk ke sekolah masing-masing, kata Menteri Pendidikan Radzi Jidin.

Langkah itu antara penambahbaikan garis panduan pengurusan dan pengoperasian sekolah susulan pembukaan semula institusi pendidikan bermula 3 Oktober lepas.

Radzi berkata, kementerian menyediakan Garis Panduan Pengurusan dan Pengoperasian Sekolah 3.0 sebagai rujukan kepada jabatan pendidikan negeri.

“Penambahbaikan yang dibuat dalam garis panduan pengurusan dan pengoperasian ini termasuk mewajibkan pemakaian pelitup muka kepada semua warga sekolah, termasuk murid; memastikan pengudaraan yang baik di dalam kelas dan memastikan murid makan di ruang terbuka dengan seliaan guru bagi kelas yang menggunakan penyaman udara,” katanya ketika sesi pertanyaan lisan Dewan Negara hari ini.

Beliau menjawab soalan Bashir Alias yang ingin tahu mengenai kajian, analisis risiko situasi Covid-19 oleh pihak kementerian dan aspek-aspek yang dipertimbangkan bagi menentukan keputusan pembukaan sekolah.

Menurut Radzi, kementerian pendidikan terdahulu mengadakan sesi libat urus selain analisis terperinci mengenai amalan baik pembukaan sekolah di negara-negara luar.

Pelan pembukaan sekolah juga diperinci bersama kementerian kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara.

Antara langkah lain ialah menetapkan hanya guru lengkap divaksin dibenarkan melaksanakan pengajaran secara fizikal.

“Selain itu, hanya anggota kumpulan pelaksana serta pekerja perkhidmatan sokongan yang lengkap divaksin sahaja dibenarkan memasuki dan bekerja di dalam kawasan sekolah,” katanya.

Lebih 300,000 murid hadir bagi sesi persekolahan secara bersemuka pada minggu pertama pembukaan sekolah di negeri Fasa 2,3 dan 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN) mulai 3 Oktober lepas.

Penggiliran murid juga dilaksanakan pada kadar 50% keseluruhan kemasukan. Ini bermakna kapasiti murid dalam kelas terhad kepada 50% jumlah murid dalam kelas tersebut.

Terdahulu, kerajaan mengekalkan keputusan membuka sekolah pada 3 Oktober selepas ia ditangguhkan ekoran peningkatan kes Covid-19.