Monday, November 29, 2021

Hampir 100 wanita angkat sumpah sebagai hakim di Mesir

Hakim baru dilantik akan menjalankan tugas yang sama seperti hakim lelaki dalam mengadili dan menyelesaikan pertikaian di semua peringkat mahkamah.

Other News

Hampir 100 orang wanita telah mengangkat sumpah perlembagaan pada Selasa dan menjadi kumpulan hakim wanita pertama di Majlis Negara Mesir, antara badan kehakiman utama negara itu.

Selaras dengan rancangan negara itu untuk memperkasa wanita di sektor kehakiman, Presiden Mesir Abdel-Fattah al-Sisi pada Mac mengarahkan pelantikan hakim wanita di Majlis Negara dan bahagian pendakwa raya umum, dua badan kehakiman yang sebelumnya eksklusif untuk hakim lelaki.

Kumpulan pertama anggota wanita di dewan itu merangkumi 48 orang hakim sebagai penolong kaunselor dan 50 orang sebagai naib kaunselor.

“Langkah itu adalah hadiah yang sangat bermakna buat wanita di Mesir,” kata Naib Presiden Majlis Negara Taha Karsoua.

Menurut Karsoua hakim baru dilantik akan menjalankan tugas yang sama seperti hakim lelaki dalam mengadili dan menyelesaikan pertikaian di semua mahkamah mereka ditugaskan.

Majlis Negara, yang ditubuhkan pada 1946, adalah badan kehakiman bebas yang secara eksklusif mengadili pertikaian pentadbiran, kes dan rayuan disiplin, dan pertikaian yang berkaitan dengan keputusannya.

“Saya sangat bangga dilantik sebagai hakim di Majlis Negara. Menjadi sebahagian daripada badan pentadbiran kehakiman adalah suatu penghormatan,” kata Reem Moussa, antara hakim yang baru mengangkat sumpah.

Moussa berkata sebelum ini mustahil bagi seorang wanita dapat menjadi hakim di dewan itu kerana sudah 75 tahun ia dikhususkan untuk hakim lelaki.

“Hari ini adalah kemenangan bagi wanita Mesir, dan pelaksanaan perkara yang menetapkan kesetaraan antara lelaki dan wanita dalam pekerjaan,” katanya kepada Xinhua dan menyebut ia peluang bagi semua wanita untuk mencapai kecemerlangan dalam semua bidang pekerjaan.

Majlis Nasional Mesir untuk Wanita (NCW) berbangga dengan pelantikan hakim wanita di Majlis Negara dan menganggapnya sebagai langkah yang menunjukkan kemahuan politik kepemimpinan wilayah itu untuk lebih memperkasakan wanita.

“Impian generasi wanita terdahulu akhirnya menjadi kenyataan,” kata ketua NCW Maya Mursi, sambil menambah bahawa beliau gembira dapat menyaksikan detik bersejarah yang mengangkat martabat wanita Mesir.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles