- Iklan -
Berita

Kontrak CEO LHDN ditamatkan

Pemendekan kontrak beliau berkuat kuasa esok bagi membolehkan Sabin menceburi bidang lain bersesuaian minatnya.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Sabin Samitah. Gambar: Bernama
Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Sabin Samitah. Gambar: Bernama

Kerajaan memendekkan kontrak perkhidmatan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga (CEO) Hasil Dalam Negeri (LHDN) Sabin bin Samitah, berkuat kuasa 19 Oktober 2021.

LHDN berkata pemendekan kontrak perkhidmatan tersebut adalah bagi membolehkan beliau menceburi bidang lain yang bersesuaian dengan minat beliau.

“LHDN merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Sabin bin Samitah atas sumbangan bakti selama beliau berkhidmat di LHDN dan mengucapkan selamat maju jaya kepada beliau,” kata LHDN dalam satu kenyataan hari ini.

Sabin dilantik sebagai CEO LHDN ketika pentadbiran Najib Razak, namun baru-baru ini menjadi sasaran bekas perdana menteri itu yang menuduh beliau menyalahgunakan kuasa.

Bulan lalu, Najib membuat laporan polis terhadap Sabin, mengatakan beliau memiliki bukti “ahli politik tertentu” menjadi dalang di sebalik tindakan LHDN terhadap beliau berhubung tunggakan cukai bernilai RM1.7 bilion.

Beberapa minit selepas pengumuman tersebut, jurucakap agensi cukai tersebut berkata ia menarik semula kenyataannya.

“Siaran media yang lebih lengkap dengan pemakluman CEO baharu akan dikeluarkan dalam masa terdekat,” katanya.

Ketika dihubungi, kementerian kewangan yang menguruskan LHDN juga turut enggan memberikan ulasan berkenaaan perkara tersebut.

Bagaimanapun, jurucakapnya memaklumkan kepada MalaysiaNow sebuah kenyataan media baru akan dikeluarkan.