- Iklan -
Berita

Khairy bidas Anwar berhubung antivaksin, rela digelar dajjal

Khairy berkata dakwaan mengatakan kerajaan tidak memberikan penerangan yang cukup berhubung vaksin adalah tidak benar.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Khairy Jamaluddin di pusat pemberian vaksin KLCC, Kuala Lumpur pada Jun lalu. Khairy berkata beliau perlu bertegas berhuung isu golongan antivaksin dalam negara. Gambar: Bernama
Khairy Jamaluddin di pusat pemberian vaksin KLCC, Kuala Lumpur pada Jun lalu. Khairy berkata beliau perlu bertegas berhuung isu golongan antivaksin dalam negara. Gambar: Bernama

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin hari ini dengan tegas membidas Presiden PKR Anwar Ibrahim yang mendakwa kerajaan menggunakan pendekatan mengugut golongan antivaksin dengan undang-undang.

“Nak kata kerajaan tidak cukup bagi penerangan tentang vaksin tidak betul.

“Kita dah kemukakan segala bukti saintifik tentang keberkesanan vaksin Covid-19 dari awal lagi. Dan kita terus memberi penerangan,” kata Khairy dalam sebuah ciapan yang menyiarkan keratan video Anwar hari ini.

Dalam keratan video berkenaan, Anwar berkata mereka yang tidak mahu menerima vaksin juga “mempunyai hujah yang kuat” untuk menyokong pandangan mereka selain mencadangkan kerajaan turut berhujah dengan golongan tersebut.

“Kadang-kadang mereka pun ada hujah yang kuat juga. Mereka bagi hujah saintifik. Kita bawa hujah saintifik yang lebih credible dan lebih kuat untuk mematahkan hujahnya,” katanya lagi.

Menurut Khairy, beliau perlu bertegas mengenai isu antivaksin sehingga sanggup digelar dengan gelaran yang tidak baik.

“Panggillah saya dajjal atau apa saja. Maaf, saya harus bertegas dengan isu ini,” katanya.

Sebelum ini Khairy mengumumkan kerajaan mengambil pendekatan tegas terhadap antivaksin dengan “mengenakan pelbagai kesukaran” terhadap golongan itu.

“Maaf saya katakan, kalau anda tidak mahu menerima vaksin atas pilihan sendiri, jadi kita akan buatkan hidup anda sukar, dan ia akan berterusan begitu,” kata Khairy.

Menurutnya, golongan yang enggan menerima vaksinn tidak dapat menikmati kelonggaran seperti makan di restoran dan pergi ke pusat beli-belah.

Bagaimanapun, Khairy berkata bagi yang tidak dapat divaksin atas alasan kesihatan, mereka tidak akan menghadapi dengan apa-apa kesulitan kerana mereka akan diberikan pengecualian digital MySejahtera.