- Iklan -
Berita

Hak demokrasi abang tubuh parti baru, kata PM

Menurut Ismail, adik beradik berlainan parti adalah perkara biasa dalam politik demokrasi di Malaysia.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Presiden Parti Kuasa Rakyat, Kamarazaman Yacob.
Presiden Parti Kuasa Rakyat, Kamarazaman Yacob.

Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob berkata tindakan abangnya Kamarazaman Yacob menubuhkan parti baru iaitu Parti Kuasa Rakyat adalah hak beliau dalam amalan negara demokrasi.

Ismail yang juga naib presiden Umno menyifatkan, perbezaan keahlian parti politik dalam kalangan ahli keluarga juga bukan suatu perkara baru dalam politik tanah air.

“Adik beradik berlainan parti politik bukan perkara baharu, sudah ada di Malaysia… ini demokrasi, itu hak beliau…tidak timbul pertelingkahan dan sebagainya,” kata ahli Parlimen Bera itu ketika ditanya mengenai tindakan Kamarazaman yang menubuhkan Parti Kuasa Rakyat baru-baru ini.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Upacara Pemakaian Lencana Pangkat kepada Ketua Polis Daerah Bera Mansor Samsudin yang dinaikkan pangkat daripada DSP, di Dewan Sri Kempas Ibu Pejabat Polis Daerah Bera hari ini.

Upacara disempurnakan Ketua Polis Negara Acryl Sani Abdullah Sani dan turut dinaikkan pangkat ialah Timbalan Ketua Polis Bera N.Kumaran yang sebelum ini memakai pangkat ASP.

Turut hadir Timbalan Menteri Dalam Negeri Ismail Mohamed Said, Pengarah Jabatan Logistik dan Teknologi Bukit Aman Sahabudin Abd Manan dan Pengarah Pengurusan Bukit Aman Zaini Jass.

Media sebelum ini melaporkan Kamarazaman melancarkan parti baru iaitu Parti Kuasa Rakyat, yang berbilang kaum pada 10 Oktober lepas, yang antara lain akan memperjuangkan pelajaran percuma, kesihatan percuma, rumah percuma dan peluang pekerjaan terutama kepada golongan B40 dan M40.