- Iklan -
Berita

Peluang Umno menang pilihan raya tipis jika bergerak solo, kata pakar

Sama ada berdepan pilihan raya umum atau negeri, Umno lebih kuat dengan kerjasama parti lain.

Azzman Abdul Jamal
2 minit bacaan
Kongsi
Seorang lelaki berjalan melintasi ibu pejabat Umno di Kuala Lumpur. Pakar berkata Umno perlu berdepan PRU atau PRN bersama lebih banyak rakan berbanding musuh politik.
Seorang lelaki berjalan melintasi ibu pejabat Umno di Kuala Lumpur. Pakar berkata Umno perlu berdepan PRU atau PRN bersama lebih banyak rakan berbanding musuh politik.

Keputusan Umno untuk menamatkan kerjasama dengan Bersatu dan Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) dan bergerak secara “solo” dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka mungkin akan mendatangkan mudarat kepada parti Melayu itu, kata penganalisis.

Ahmad Martadha Mohamed dari UUM berkata keputusan itu akan memecah belahkan pengundi Melayu sekali gus mengurangkan peluang Umno pada PRN Melaka dan PRU15.

Beliau berkata, kenyataan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi untuk tidak bekerjasama dengan Bersatu disifatkan sebagai retorik dan tidak mewakili suara parti memandangkan terdapat bantahan daripada pimpinan lain.

“Sebab itu kalau kita lihat, Umno pun faham bahawa jika mereka mahu menang, mereka perlukan kerjasama dan tidak boleh bergerak secara bersendirian dan ini adalah hakikat,” katanya kepada MalaysiaNow.

“Bagi saya, kerjasama yang terjalin antara Umno dan Bersatu merupakan situasi menang-menang. Umno perlukan Muafakat Nasional, bukan sahaja Bersatu tetapi juga PAS untuk meraih undi Melayu sebanyak mungkin.”

Mengulas lanjut, Martadha berkata, kewujudan PN menyebabkan Barisan Nasional (BN) sebagai gabungan politik yang tidak lagi relevan pada masa ini.

Katanya, ini jelas terbukti apabila kebanyakan parti komponen BN seperti MCA, MIC dan Gerakan juga menyuarakan sokongan terhadap PN.

“Sebab itu Umno sebenarnya lebih relevan menggunakan nama parti itu sendiri berbanding BN. Malah, Sebelum ini juga, beberapa keputusan Umno tidak dipersetujui oleh beberapa komponen dalam BN sendiri.

“Justeru, bagi saya, lebih baik Umno berdiri sendiri dalam membawa wadah perjuangan mereka tanpa menggunakan nama BN, sebab gabungan itu tidak lagi seperti mana diketahui sebelum ini,” katanya.

Umno hidup dalam nostalgia

Sementara itu, Mujibu Abd Muis dari UiTM berkata cabaran terbesar Umno pada masa ini adalah melaksanakan reformasi dalam parti itu dan memberi gambaran perjuangan yang lebih jelas kepada pengundi.

“Secara umum, Umno merupakan parti yang bergantung kepada nostalgia dan juga jasa besarnya terhadap orang Melayu,” katanya kepada MalaysiaNow.

“Dalam konteks ini, perkara itu sudah tidak lagi berapa mampan dalam menarik pengundi terutamanya dalam kalangan generasi pengundi baru.”

Beliau berkata, perkara ini jelas ditunjukkan oleh veteran Umno, Tengku Razaleigh Hamzah yang merasakan parti Melayu itu kini sudah terpesong daripada semangat asal.

“Persoalannya adakah Umno sedia untuk melalui proses reformasi budaya politiknya yang terlampau kehulubalangan, budaya penaungan, budaya politik wang dan sebagainya. Kalau dilihat, ia masih sukar untuk dikikis.

“Dari sudut perspektif Ku Li mengenai cadangannya menubuhkan Umno Lama, ia mungkin kerana beliau sebagai veteran Umno melihat ahli parti kini sudah berpecah,” tambahnya.

Mengulas mengenai hubungan Umno dan Bersatu, Mujibu berkata, ini adalah antara perkara yang harus difikirkan secara teliti oleh parti Melayu terbesar itu.

“Dalam PRU, jika undi Melayu pecah dan ada isu-isu yang tidak ditangani oleh Umno dengan baik seperti kes mahkamah, maka ia boleh jejaskan parti itu.

“Selagi tiada isu berat yang mengheret Umno dalam PRU, parti itu mungkin ada peluang, tetapi dalam keadaan sekarang tanpa gabungan parti lain, sukar untuk mereka membentuk kerajaan,” katanya.

Beliau menambah, cara terbaik untuk Umno mengharungi PRU atau PRN adalah mempunyai “kawan” yang lebih banyak berbanding musuh melainkan parti itu mempunyai penawaran untuk membuktikan mereka adalah kerajaan berwibawa serta menuju ke arah budaya politik baru.

“Hakikat politik Malaysia ialah tiada parti dominan yang boleh berdiri dengan sendiri untuk bentuk kerajaan tanpa gabungan,” tambahnya.