Tuesday, December 7, 2021

Malaysia bakal raih keuntungan daripada krisis tenaga

Walaupun kesan positif dijangkakan, negara harus berdepan kesan kenaikan harga minyak.

Other News

Seorang ahli ekonomi berkata kesan negatif terhadap Malaysia berikutan krisis tenaga dan bahan bakar di Eropah baru-baru ini tidak begitu membimbangkan, walaupun pihak berkuasa global bergelut dalam usaha mengatasi masalah kekurangan bekalan sehingga menyaksikan kenaikan harga gas dan elektrik awal minggu ini.

Di Eropah, harga perkhidmatan elektrik mencapai paras tertinggi bulan lalu sementara harga gas melonjak sebanyak 600% tahun ini.

Sementara itu, pengguna di Sepanyol dan Portugal membayar €175 (RM845) bagi setiap megawatt jam (MWh), sementara di United Kingdom (UK) harga melonjak kepada €183.84 (RM887) bagi setiap MWh.

Harga minyak mentah global pula meningkat kepada paras tertinggi sejak tujuh tahun lalu dengan harga AS$80 (RM332) setong.

Bagaimanapun, ketika dihubungi MalaysiaNow, ketua ekonomi Bank Islam Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata krisis tenaga Eropah akan memberikan kesan positif kepada Malaysia kerana negara ini adalah pengeksport cecair gas asli (LNG).

“Lonjakan harga gas dunia memanfaatkan industri minyak dan gas negara.

“Sebagai contoh, pada bulan Julai dan Ogos, eksport LNG telah mencatatkan kenaikan yang besar bagi 69.9% dan 110.2% untuk kedua-dua bulan tersebut,” katanya.

Ketika ekonomi mula menuju pemulihan daripada pandemik Covid-19, pada masa sama permintaan untuk gas pula meningkat berikutan kekurangan bekalan.

Pertubuhan Negara-negara Pengeksport Petroleum (Opec) dan sekutu-sekutu bukan Opec tahun lalu bersetuju untuk mengurangkan pengeluaran minyak mentah kepada 10 juta tong sehari. Ia kemudian menurun kepada hanya 5.8 juta tong sehari.

Opec berkata pengeluaran akan kembali ke tahap pra-pandemik pada 2022.

Afzanizam berkata, ketidakseimbangan pasaran komoditi juga turut memberi kesan kepada komoditi lain seperti arang batu dan minyak mentah.

Kenaikan harga komoditi bermaksud Malaysia, sebagai pengeksport komoditi utama akan mendapat keuntungan.

Namun, beliau turut mengingatkan ketidakseimbangan ini akan memberi impak terhadap tekanan inflasi global.

“Namun, ia juga boleh memberi kesan kepada tekanan inflasi global. Perkara ini bakal menjadi mangkin kepada bank pusat dunia seperti Rizab Persekutuan Amerika Syarikat untuk menaikkan kadar faedah pada tahun hadapan.

“Situasi ini akan melihat sentimen yang agak negatif kepada pasaran saham berikutan bahawa tanggapan bahawa peningkatan kadar faedah akan meningkatkan momentum pertumbuhan ekonomi,” katanya

Ahli ekonomi Yeah Kim Leng sementara itu bersetuju Malaysia hanya akan mengalami sedikit kesan akibat krisis tersebut kerana bekalan minyak mentah dan gasnya.

Bagaimanapun, katanya, lambat laun, negara juga tetap akan menghadapi kesan negatif daripada kenaikan harga minyak.

“Akan ada kesan mengejutkan daripada kenaikan harga bahan bakar terhadap pengeluaran dan kos pengangkutan yang meningkatkan tekanan inflasi,” kata Yeah yang merupakan pensyarah di Universiti Sunway kepada MalaysiaNow.

“Walaupun kerajaan boleh kurangkan impak kenaikan harga melalui subsidi, ia kemungkinan diberikan secara separuh kerana subsidi penuh akan menjadikan kosnya mahal dan tidak efisien.”

Yeah berkata kebimbangan utama ketika ini adalah kelembapan ekonomi global, yang turut memperlahankan usaha pemulihan ekonomi Malaysia melalui saluran perdagangan dan pelaburan.

Namun beliau berkata simpanan wang kerajaan dijangka akan meningkat disebabkan harga minyak yang lebih tinggi, sementara syarikat petroleum kebangsaan Petronas berada pada posisi yang baik bagi memperkukuhkan aliran tunainya.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles