Friday, December 3, 2021

Putrajaya pertimbang buka semula sempadan negara

Ia akan dijalankan dengan membenarkan kemasukan pelancong luar negara dari negara-negara lain dengan pengiktirafan sijil vaksinasi.

Other News

Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) Muhyiddin Yassin hari ini berkata kerajaan sedang mempertimbangkan untuk membuka sempadan negara secara selamat dengan membenarkan pelancong asing tanpa perlu menjalani kuarantin wajib melalui program “Mutual Recognition of Vaccine Certificate” yang dilaksanakan di beberapa negara lain.

Menurut Muhyiddin, penurunan kes positif harian dan penggunaan katil-katil wad unit rawatan rapi (ICU) bagi pesakit Covid-19 dan kadar vaksinasi populasi dewasa yang telah mencapai 95 peratus pada masa ini merupakan perkembangan baik dalam usaha negara memulihkan ekonomi.

“Dengan pembukaan semula sempadan negara, ia akan merancakkan semula aktiviti ekonomi terutama dalam sektor pelancongan, ia akan mempermudahkan urusan pelawat perniagaan dan pelawat sosial untuk datang ke negara ini.

“Pembukaan semula sempadan negara ini adalah aspek penting dalam usaha pemulihan negara dapat berjalan segera dan selamat,” katanya selepas mesyuarat Majlis Pemulihan Negara yang pertama kali dilakukan dengan kehadiran wakil-wakil pembangkang.

Dalam pada itu, Muhyiddin juga berkata mesyuarat juga menumpukan perbincangan berhubung dua sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan golongan rentas yang terjejas akibat pandemik.

“MPN membincangkan bentuk bantuan dalam fasa pemulihan, liquidity dan kekurangan tenaga kerja asing dan pengagihan bantuan makanan kepada golongan rentan.

“Majlis berpandangan satu analisa perlu dibuat untuk memastikan industri yang terkesan berdasarkan statistik terkini dikenal pasti bagi pastikan penyelesaian jangka masa pendek dan panjang yang berfokus dapat dilaksanakan dengan segera,” katanya.

Sehubungan itu, Muhyiddin berkata MPN bersetuju untuk menubuhkan sebuah pasukan yang melibatkan beberapa kementerian dan institusi termasuk kementerian kewangan, Bank Negara, kementerian perdagangan antarabangsa dan industri (Miti), kementerian sumber manusia dan bagi memperhalusi beberapa perkara yang berkaitan pekiayaan, tenaga kerja yang menjadi keperluan PKS.

“Pasukan ini akan membentangkan kajian dan syor-syor mereka kepada MPN dalam tempoh masa sebulan daripada mesyuarat hari ini.

“Ia adalah penting bagi MPN mengenal pasti sektor PKS yang paling terkesan dan paling penting supaya kita tahu apa kehendak dan bentuk sokongan bantuan sama ada dalam bentuk pembiayaan, insentif dan lain-lain kemudahan perbankan.”

Selain itu, MPN juga mahu mengenal pasti keperluan tenaga kerja manusia yang diperlukan sektor tersebut.

“Kita nak tahu sektor apa yang perlukan pekerja, berapa ramai, bila dan bagaimana kita nak selesaikan masalah pekerja-pekerja itu, sama ada dengan latihan kepada warga Malaysia bagi memenuhi sektor-sektor tersebut,” katanya.

10 Oktober lalu, Putrajaya mengumumkan kebenaran rentas negeri yang berkuat kuasa pada 11 Oktober lalu selepas negara mencapai 90% populasi dewasa lengkap divaksinasi.

Bagaimanapun, kebenaran itu diberikan kepada yang menerima vaksinasi lengkap selain perlu mengikut prosedur operasi standard (SOP) seperti penjarakan fizikal dan pemakaian pelitup muka.

Menteri Pertahanan Hishammuddin Hussein turut berkata walaupun orang ramai tidak lagi perlu berdepan sekatan jalan raya (SJR) di sempadan-sempadan negeri, namun pemeriksaan secara rawak akan tetap dilakukan bagi memantau pergerakan rentas negeri.

Hishammuddin berkata pemantauan itu perlu memandangkan kebenaran rentas negeri itu tidak bermakna pihak berkuasa akan berlepas tangan sebaliknya akan memastikan SOP sentiasa dipatuhi.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles