- Iklan -
Berita

Pindaan Perlembagaan agar selaras MA63 dilihat lebih komprehensif, kata KM Sarawak

Abang Johari berkata pindaan yang sedang diusahakan itu juga akan memperkenalkan pengertian sebenar Hari Malaysia yang sebelum ini tidak pernah diperincikan.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Ketua Menteri Sarawak Abang Johari Openg. Gambar:  Bernama
Ketua Menteri Sarawak Abang Johari Openg. Gambar: Bernama

Cadangan pindaan Perlembagaan Persekutuan agar selaras dengan peruntukan yang relevan dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), disifatkan lebih komprehensif dan mencerminkan semangat sebenar pihak-pihak yang memeterai perjanjian berkenaan.

Ketua Menteri Sarawak Abang Johari Openg berkata pindaan yang merangkumi definisi “Persekutuan” di bawah Artikel 160 (2) sangat penting supaya MA63 serta fasal di dalamnya diperakui dalam Perlembagaan.

Beliau berkata pindaan yang sedang diusahakan itu juga akan memperkenalkan pengertian sebenar “Hari Malaysia”, yang sebelum ini tidak pernah diperincikan.

Katanya Sarawak juga telah berbincang dengan kerajaan persekutuan berhubung definisi “peribumi” (native) di bawah Artikel 161A Perlembagaan Persekutuan.

“Dengan pindaan ini kuasa bagi memutuskan kaum mana yang terdapat di Sarawak akan diiktiraf sebagai kaum asal (indigenous) akan ditetapkan oleh negeri menerusi undang-undang negeri,” katanya dalam persidangan media di Wisma Bapa Malaysia hari ini.

Terdahulu Abang Johari menerima kunjungan hormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Pada 6 Oktober lepas Wan Junaidi dilaporkan berkata satu rang undang-undang bagi meminda Perlembagaan Persekutuan supaya selaras dengan peruntukan yang relevan dalam MA63 dijangka dibentang di Parlimen menjelang akhir bulan ini.

Sementara itu Abang Johari berkata perjumpaannya dengan Wan Junaidi hari ini turut menyentuh soal berhubung peruntukan kerajaan persekutuan kepada Sarawak.

Beliau berkata walaupun Rancangan Malaysia ke-12 memberi tumpuan kepada Sabah dan Sarawak serta negeri yang kurang membangun, peruntukan bagi Sarawak dilihat rendah berbanding keperluannya untuk memacu pertumbuhan dan merapatkan jurang perbezaan pembangunan.

“Peruntukan RM4.47 bilion hanyalah 6.8 peratus daripada keseluruhan perbelanjaan pembangunan nasional di bawah Rolling Plan Pertama 2021 Rancangan Malaysia ke-12, yang jelas tidak menggambarkan keperluan sebenar Sarawak dengan melihat kepada saiz serta tahap pembangunannya, di samping statusnya sebagai rakan setaraf dalam pembentukan Malaysia,” katanya.