- Iklan -
Berita

Najib mohon gantung prosiding kes saman AS$8 bilion oleh 1MDB ke tahun depan

Bekas perdana menteri itu telah mengemukakan permohonan untuk menggantung prosiding di Mahkamah Tinggi semalam.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Najib Razak di Mahkamah Tinggi pada 18 Ogos lalu. Gambar: Bernama
Najib Razak di Mahkamah Tinggi pada 18 Ogos lalu. Gambar: Bernama

Permohonan Najib Razak untuk menggantung prosiding saman sivil AS$8 bilion oleh 1Malaysia Development Bhd (1MDB) terhadap beliau dan beberapa pihak lain, akan didengar pada 11 Februari tahun depan.

Peguam yang mewakili 1MDB Siva Kumar Kanagasabai berkata bekas perdana menteri itu telah mengemukakan permohonan untuk menggantung prosiding di Mahkamah Tinggi semalam.

Beliau berkata demikian kepada Bernama selepas pengurusan kes dalam talian di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Atan Mustaffa Yussof Ahmad.

Dalam prosiding hari ini, mahkamah juga membenarkan permohonan 1MDB untuk menyerahkan surat kepada Terrence Geh Choh Heng (bekas pengarah kewangan 1MDB), Jasmine Loo Ai Swan (bekas Peguam 1MDB), Casey Tang Keng Chee (bekas pengarah eksekutif 1MDB) dan Nik Faisal Ariff Kamil (bekas ketua pegawai eksekutif SRC International Sdn Bhd) melalui penyampaian ganti dalam saman AS$8 bilion itu.

Penyampaian ganti adalah perkhidmatan alternatif yang dibenarkan mahkamah selepas percubaan penyampaian ke diri tidak berjaya.

Selain itu, peguam tersebut berkata bekas pengarah pelaburan dan ketua pegawai pelaburan 1MDB Vincent Beng Huat Koh telah memfailkan penyataan pembelaannya dan beliau telah memaklumkan kepada mahkamah bahawa beliau akan memfailkan permohonan untuk membatalkan saman itu.

“Beliau telah diberi tempoh tiga minggu untuk berbuat demikian. 1MDB mempunyai masa sebulan untuk memfailkan jawapan kepada pembelaannya,” katanya menambah mahkamah menetapkan 1 Disember untuk pengurusan kes selanjutnya.

Saman US$8 bilion itu adalah satu daripada 22 saman sivil yang difailkan untuk menuntut lebih US$23 bilion bagi pihak 1MDB dan bekas anak syarikatnya, SRC International terhadap beberapa individu yang didakwa terlibat dalam skandal kewangan itu.

Dinamakan sebagai defendan dalam saman ini ialah Najib, Terence Geh, Jasmine Loo, Casey Tang, Vincent Beng, ketua pegawai operasi Radhi Mohamad, bekas pengarah pelaburan Kelvin Tan Kay Jim dan Nik Faisal.