Sunday, November 28, 2021

Mahkamah tolak rayuan Shahrir, Ahmad Maslan batal notis kompaun SPRM

Selain Shahrir Samad dan Ahmad Maslan, Mahkamah Rayuan turut menolak permohonan 30 lagi individu yang mahu membatalkan notis kompaun SPRM.

Other News

Mahkamah Rayuan hari ini menolak rayuan 32 individu termasuk bekas Pengerusi Felda Shahrir Abdul Samad dan Ahli Parlimen Pontian Ahmad Maslan untuk membatalkan notis kompaun Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap mereka berhubung dakwaan menerima wang dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Panel tiga hakim diketuai Suraya Othman menolak rayuan mereka dengan alasan tiada merit dalam rayuan itu.

Kesemua 32 individu tersebut merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonan kebenaran semakan kehakiman terhadap keputusan SPRM mengeluarkan notis kompaun terhadap mereka.

Hakim Suraya dalam keputusan sebulat suara berkata tindakan perayu mencabar kompaun yang dikeluarkan oleh SPRM, sebenarnya mencabar budi bicara pendakwa raya yang memberi persetujuan bagi membenarkan tawaran kompaun dikeluarkan dan dengan itu secara langsung telah mencabar kuasa pendakwa raya di bawah Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan dan Seksyen 376 Kanun Prosedur Jenayah.

“Pengeluaran tawaran kompaun itu dibuat di bawah Seksyen 92(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) dan di bawah seksyen itu, sebelum tawaran kompaun dibuat, kebenaran daripada pendakwa raya mesti diperoleh.

“Perayu selepas menerima tawaran untuk mengkompaun boleh memutuskan sama ada untuk menerima tawaran kompaun atau menolaknya. Sekiranya perayu menerima tawaran kompaun di bawah Seksyen 92(4) AMLATFPUAA, tiada pendakwaan yang dapat dimulakan terhadap mereka oleh pendakwa raya.

“Jika mereka menolak tawaran yang dibuat, maka di bawah Seksyen 92(3) AMLATFPUAA, pendakwa raya boleh memulakan pendakwaan yang akan menyebabkan pertuduhan dikemukakan terhadap mereka di mahkamah jenayah,” kata hakim Suraya pada prosiding yang dijalankan secara maya hari ini.

Dua lagi hakim yang bersidang ialah Darryl Goon Siew Chye dan Mariana Yahya.

Hakim Suraya selanjutnya berkata kuasa pendakwa raya untuk mendakwa mana-mana individu boleh dilaksanakan olehnya pada bila-bila masa.

“Dalam rayuan ini, tiada caj dikenakan terhadap semua perayu. Pada masa ini kami berpendapat bahawa adalah pramatang di pihak perayu untuk mencabar kuasa pendakwa raya dalam menjalankan budi bicaranya untuk memberi kuasa kepada responden (SPRM dan ketua pesuruhjaya SPRM) untuk mengeluarkan tawaran mengkompaun kesalahan di bawah AMLATFPUAA.

“Berdasarkan alasan di atas, rayuan ini ditolak tanpa perintah terhadap kos dan keputusan Mahkamah Tinggi bertarikh 26 Februari 2020 dikekalkan,” kata Hakim Suraya.

Peguam Mohamed Shahrul Fazli Kamarulzaman, Mohamed Baharudeen Mohamed Ariff dan Mohd Shahril Madisa mewakili perayu manakala peguam kanan persekutuan Ahmad Hanir Hambaly bertindak bagi pihak SPRM.

Pada 26 Februari 2020, Mahkamah Tinggi menolak permohonan 32 individu untuk mendapatkan kebenaran bagi semakan kehakiman selepas Jabatan Peguam Negara mengemukakan bantahan awal atas alasan bahawa permohonan pemohon tidak mempunyai prima facie, kes yang boleh dipertikaikan, remeh, menyusahkan dan penyalahgunaan proses mahkamah.

Shahrir dan Ahmad Maslan serta 30 individu lain memfailkan permohonan semakan kehakiman secara berasingan pada November dan Disember 2019.

Dalam permohonan itu, kesemua pemohon memohon pengisytiharan bahawa keputusan dan tindakan responden kedua (SPRM) mengkompaun mereka melalui Tawaran Untuk Mengkompaun Kesalahan bertarikh 7 Oktober 2019 sebagai ultra vires, tidak sah, batal dan tidak boleh dikuatkuasakan.

Pemohon juga memohon perintah bagi membatalkan keputusan dan tindakan SPRM mengkompaun mereka selain memohon perintah untuk melarang suruhanjaya itu daripada menguatkuasakan kompaun berkenaan atau meneruskan pendakwaan terhadap mereka.

Turut dimohon, pengisytiharan bahawa kenyataan responden pertama (ketua pesuruhjaya SPRM) ketika sidang media berhubung keputusan mengeluarkan notis kompaun terhadap ketiga-tiga pemohon atas alasan untuk mendapatkan semula dana 1MDB yang dikatakan wang rakyat adalah pramatang, salah tanggap dan salah guna jawatan awam.

Pada 7 Oktober 2019, Ketua Pesuruhjaya SPRM ketika itu, Latheefa Koya, dalam sidang  media berkata SPRM telah mengeluarkan notis kompaun kepada 80 individu dan entiti yang menerima wang berjumlah RM420 juta dipercayai daripada 1MDB.

Latheefa berkata sembilan individu dan 71 entiti, terdiri daripada 23 syarikat, 43 organisasi politik dan lima yayasan dan organisasi menerima wang melalui cek yang melibatkan akaun bekas Perdana Menteri Najib Razak.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles