Tuesday, December 7, 2021

Hanya 27.13% pelajar sekolah agama, tahfiz, pondok divaksinasi di Pulau Pinang

5,654 pelajar dari tiga jenis sekolah tersebut telah menerima vaksin dan jumlah tersebut disifatkan sangat rendah.

Other News

Kerajaan Pulau Pinang menggesa ibu bapa dan waris anak-anak yang belajar di sekolah agama, tahfiz dan pondok pengajian Islam di negeri ini, untuk hadir secara jumpa terus di 10 buah pusat pemberian vaksin (PPV) yang masih beroperasi bagi menerima suntikan vaksin Covid-19.

Pengerusi Jawatankuasa Agro, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan Pulau Pinang Norlela Ariffin berkata sehingga semalam, hanya 27.13% daripada 5,654 pelajar dari tiga jenis sekolah itu telah menerima vaksin dan jumlah tersebut disifatkan sangat rendah.

“Hanya 1,534 pelajar atau 27.13% telah menerima vaksin manakala 4,120 pelajar di tiga jenis sekolah tersebut masih belum menerima suntikan. Saya minta ibu bapa atau waris mereka untuk segera membawa anak-anak bagi mendapatkan vaksin, kerana sekolah juga akan mula dibuka bagi sesi pembelajaran secara bersemuka tidak lama lagi.

“Lagipun 10 buah PPV yang beroperasi sekarang akan ditutup bermula awal bulan depan, jadi jika pelajar-pelajar tidak mendapatkan suntikan segera kami bimbang mereka perlu mendapatkan di klinik swasta yang kemungkinan dikenakan caj bagi perkhidmatan berbanding di PPV yang hanya percuma,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Menurut beliau mengikut Jabatan Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP), vaksinasi pelajar di tiga jenis sekolah itu diuruskan oleh keluarga masing-masing, dan vaksin yang diberikan kepada golongan remaja ialah Pfizer-BioNTech.

Norlela berkata seramai 85.9% atau 121,489 daripada 141,500 golongan remaja di Pulau Pinang telah menerima vaksin dos pertama dan mereka juga mula menerima dos kedua sejak semalam.

Daripada jumlah itu katanya, seramai 126,452 orang adalah pelajar dari 400 buah sekolah yang berdaftar di bawah Jabatan Pendidikan Pulau Pinang dan seramai 112,126 atau 89.3% telah menerima suntikan dos pertama.

“Jadi saya juga minta golongan remaja berusia 12 tahun ke atas yang belum terima suntikan agar hadir segera di PPV yang masih beroperasi untuk terima suntikan vaksin Covid-19,” katanya.

Sementara itu, beliau berharap kementerian kesihatan akan mempertimbangkan untuk memberikan suntikan dos penggalak kepada 40,000 petugas barisan hadapan dan 482,000 warga emas dan pesakit komorbid di Pulau Pinang dengan segera.

“Ini untuk perlindungan tambahan kepada mereka supaya tidak berlaku peningkatan kes Covid-19 kategori tinggi terutama selepas kebenaran rentas negeri dibenarkan,” katanya.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles