Saturday, October 23, 2021

‘Sentiasa takut’: Tiada kerakyatan dan IC di kota raya

Thinesh hidup dalam keadaan serba takut sekiranya ditahan polis dan ditanya soalan yang dia sendiri tiada jawapan.

Other News

Thinesh yang berusia 20 tahun itu bekerja sebagai seorang penyambut tetamu di sebuah pejabat organisasi bukan kerajaan (NGO) di Kelana Jaya, Selangor.

Dia tersenyum sambil menyapa pelawat di kaunter penyambut tetamu itu, kadangkala menjawab panggilan telefon dan memberikan penjelasan kepada mereka yang bertanya.

Di pejabat itu, dia kelihatan yakin dan tenang, percaya diri dan gembira dengan pekerjaannya.

Namun, di luar pejabat, lain pula kisahnya.

Walaupun keyakinan dirinya masih ada, namun dalam hatinya penuh rasa takut.

Dia selalu bimbang untuk melakukan aktiviti harian kerana ada satu dokumen penting yang wanita muda itu tidak miliki – sekeping kad pengenalan (IC).

Thinesh lahir dan dibesarkan di Kedah namun dianggap sebagai seorang penduduk tanpa kewarganegaraan kerana satu perkara, dia tidak mengenali dan tahu sebarang hal tentang ibu kandungnya.

Tanpa IC atau MyKad, hidupnya sentiasa dalam ketakutan dan bimbang jika ditangkap polis dan ditanya soalan yang dirinya sendiri tidak memiliki jawapannya.

“Ketika saya masih kecil, ada banyak perkara yang saya tidak dapat lakukan,” katanya ketika ditemui MalaysiaNow.

“Saya bahkan tak dapat mengambil bahagian dalam aktiviti perkhemahan yang diadakan sekolah kerana ibu bapa saya takut sekiranya saya ditangkap pegawai polis, dan ia akan menjadi perkara yang rumit untuk dijelaskan.”

Thinesh, 20 menjawab pertanyaan ketika dia ditemui MalaysiaNow di tempat kerjanya di Kelana Jaya, Selangor.

Ibu bapa yang disebutnya Thinesh itu adalah pasangan yang mengambilnya sebagai anak angkat.

Thinesh tinggal bersama bapa kandungnya sehingga usianya mencecah lapan tahun.

Dia tidak pernah bertemu dengan ibu kandungnya kerana wanita itu meninggalkan Thinesh ketika dia baru dilahirkan, hilang tanpa dapat dijejaki.

Suatu hari, bapanya mengalami sakit tenat.

Menyedari ajalnya bakal tiba, dia memohon rakan rapatnya untuk mengambil Thinesh sebagai anak angkat, anak perempuan tunggal yang dimilikinya.

Tidak lama setelah Thinesh diambil oleh ibu dan bapa angkatnya, bapa kandung gadis itu meninggal dunia.

Ketika itu, tumpuan hanya diberikan untuk memastikan Thinesh mempunyai keluarga.

Tiada seorang pun yang sedar betapa rumit situasi atau kesan perkara itu terhadap hidup Thinesh.

Ketika dia berusia 12 tahun, ibu bapa angkatnya membawa Thinesh untuk mendapatkan MyKad.

Namun ketika di kaunter, mereka diberitahu Thinesh tidak layak menerima MyKad kerana sijil kelahirannya tidak menyebut maklumat mengenai ibu kandungnya.

Ketika itulah, ketakutan Thinesh bermula.

Pada 2014, dia memohon kewarganegaraan Malaysia, namun permohonannya masih diproses sehingga kini.

Beberapa kali dia bertanya mengenai status permohohannya, namun jawapan sama yang diperolehi: “tunggu”.

Kini hampir lapan tahun sudah berlalu, Thinesh masih menunggu.

“Mereka gesa saya cari ibu kandung, tetapi apa yang saya boleh lakukan sedangkan saya tidak mengenali apa-apa hal mengenai dia? Bahkan saya tidak pernah melihat wajahnya.

“Tahun depan, saya akan mencecah usia 21 tahun tanpa mengetahui apakah saya akan dapat memiliki IC atau tidak. Itulah perkara yang paling menakutkan saya,” katanya.

Thinesh menyusun fail di pejabatnya.

Menurut Thinesh, wanita lain seusianya boleh mendapatkan lesen memandu dan melanjutkan pendidikan di peringkat lebih tinggi.

Namun sebaliknya, Thinesh bahkan tidak boleh membeli kad SIM telefon bimbit atau membuka akaun bank.

Dia sangat-sangat berharap dapat menjalani kehidupan normal sebagai warganegara yang sah di tempat dia dilahirkan dan negara yang dianggap sebagai tanah airnya.

Malahan, lebih daripada itu, dia juga berazam mahu melakukan sesuatu yang akan membolehkan dirinya menyumbang kepada masyarakat.

“Saya ada banyak impian,” katanya kepada MalaysiaNow.

“Salah satunya adalah membuka yayasan saya sendiri untuk kanak-kanak istimewa yang memerlukan pertolongan.”

Thinesh juga mahu melanjutkan pelajaran dalam bidang psikologi – namun apa yang boleh dia lakukan hanya membaca mengenai subjek itu dan membuat carian di Google.

Wanita muda ini juga berusaha untuk memohon tempat di universiti, namun dia diberitahu tidak memenuhi syarat sebagai seorang pelajar tempatan dan boleh dikenakan yuran pengajian yang lebih tinggi.

Percubaan untuk mendapatkan biasiswa juga turut buntu, ekoran itu dia tidak dapat menanggung kos melanjutkan pengajiannya.

Menurut Thinesh, semasa masih kecil di sekolah, dia juga turut dibuli kerana tidak memiliki MyKad seperti semua rakan sebayanya.

Dia selalu merasa seolah-olah wujud garisan pemisah tidak dapat dilihat antara mereka dengannya, semua itu adalah gara-gara tidak layak memiliki MyKad.

“Mereka ejek saya, mengatakan saya tidak ada negara dan ibu bapa saya lahirkan saya sebelum mereka berkahwin,” kenangnya.

“Mereka lemparkan banyak kata-kata kesat pada saya. Itulah sebabnya saya tidak keberatan untuk berbicara secara terbuka mengenai masalah ini kerana saya mahu orang tahu apa keadaan seseorang yang tidak ada kewarganegaraan, dan menyedari bahawa masalah sedemikian itu wujud di Malaysia.”

Dalam banyak kes, katanya, kesalahan itu sering ditujukan kepada ibu bapa kandung, namun Thinesh berpandangan tidak ada gunanya dia memikirkan perkara sedemikian.

“Saya tahu masalah ini sebahagiannya berpunca daripada ibu bapa saya, tetapi mereka sudah tidak ada,” katanya.

“Ia bukan salah saya, tetapi saya yang harus berjuang untuk mendapatkannya.”

Apa yang paling mengganggu Thinesh ketika ini adalah ramai orang membuat penilaian yang menghukum terhadap anak-anak tanpa kewarganegaraan dan menganggap mereka tidak berguna dan tiada masa depan.

“Anak-anak ini mempunyai banyak bakat tetapi mereka tidak berpeluang untuk menunjukkan bakat dan kemampuan mereka,” katanya.

Walaupun m tidak diberi kewarganegaraan, Thinesh yakin jika diberi peluang, mereka mahu berkhidmat untuk negara.

“Sekarang, saya tidak dapat melakukan apa-apa dan saya hidup dalam keadaan sentiasa takut. Saya sebenarnya tidak mahu terus hidup seperti ini.”

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles