- Iklan -
Berita

Penjualan kit ujian kendiri Covid-19 akan diperluas ke pasar raya, kedai rantaian

Perluasan jualan kit ujian kendiri Covid-19 di pasar raya membolehkan orang ramai mendapatkannya dengan lebih mudah.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Kit ujian kendiri menggunakan air liur iaitu Salixium Covid-19 Rapid Antigen Test.
Kit ujian kendiri menggunakan air liur iaitu Salixium Covid-19 Rapid Antigen Test.

Penjualan kit ujian pantas antigen Covid-19 (ujian kendiri) di pasar raya dan kedai rantaian dijangka dapat dilaksanakan dalam bulan ini, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Alexander Nanta Linggi.

Ini kerana kementerian perdagangan dalam negeri dan hal ehwal pengguna (KPDNHEP) dan kementerian kesihatan (KKM) kini berada di peringkat akhir perbincangan berhubung perkara tersebut, katanya.

Kit ujian pantas antigen Covid-19 (ujian kendiri) ketika ini dijual di semua farmasi komuniti berdaftar atau premis fasiliti kesihatan yang terdapat di negara ini.

“Perluasan penjualannya di pasar raya dan kedai rantaian terpilih buat permulaan ini akan membolehkan orang ramai mendapatkan kit tersebut dengan lebih mudah,” kata Nanta dalam sidang media secara maya selepas majlis pelancaran Pameran dan Persidangan Francais Antarabangsa Malaysia 2021 (FIM 2021) secara maya hari ini.

Nanta dalam pada itu berkata kerajaan juga akan memastikan paras harga siling borong dan runcit baharu bagi kit ujian pantas antigen Covid-19 (ujian kendiri) tidak akan memberi kesan kepada pemain industri.

“Sesi perbincangan masih diadakan sehingga satu tahap semua pihak bersetuju terhadap harga runcit dan borong maksimum bagi kit ujian pantas antigen Covid-19.

“Kementerian mahu harga baru yang akan ditetapkan adalah yang terbaik kepada pengguna dan ia tidak akan memberi kesan kepada perniagaan,” katanya.

Berkuat kuasa 5 September, harga runcit maksimum bagi kit ujian pantas antigen Covid-19 (ujian kendiri) ditetapkan pada RM19.90 bagi setiap set manakala harga borong ditetapkan RM16 satu set.

Pada 8 Oktober lepas, Nanta dilaporkan berkata kerajaan akan menetapkan paras harga siling borong dan runcit baharu bagi kit ujian pantas antigen Covid-19 (ujian kendiri) pada November.

Nanta berkata KPDNHEP mengambil maklum terdapat kira-kira sembilan juta kit ujian pantas antigen Covid-19 (ujian kendiri) yang berada dalam pasaran ketika ini.

“Pihak industri terlibat dalam membawa masuk dan mengeluarkan kit ini telah memberikan maklum balas positif supaya kit tersebut dijual pada harga yang lebih rendah daripada harga runcit maksimum ketika ini,” katanya.